Politics

Akta Profesion Guaman Syarie dikuat kuasa 21 Jun

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 [Akta 814] akan mula dikuatkuasakan pada 21 Jun ini.

Katanya, pada 9 Jun lalu, Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Profesion Guaman Syarie 2019 [Akta 814] dan Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No. 2) 2019 [Akta A 1606] telah disiarkan dalam Warta.

Tambahnya, kedua-dua penetapan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei 2022 dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

Katanya, penyiaran kedua-dua penetapan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk menguatkuasakan Akta Profesion Guaman Syarie 2019 pada 21 Jun ini.

Advertisement

Beliau berkata, usaha untuk mewujudkan akta berkaitan profesion guaman syarie telah bermula sejak tahun 1984 lagi.

Katanya, pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang  Syarak dan Sivil telah meneruskan  usaha penggubalan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) sehingga selesai.

Menurut beliau, sebelum kewujudan Akta 814, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan dikawal selia mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 [P.U. (A) 40811993] yang dibuat mengikut seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

Menurutnya, Akta 814 telah diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

“Akta 814 kemudiannya telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2019 dan telah disiarkan dalam Warta pada 19 November 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selepas Akta 814 berkuat kuasa kelak, ujarnya profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan dikawal selia di bawah akta tersebut.

Jelasnya, penguatkuasaan Akta 814 telah ditangguhkan bagi memberi peluang supaya sepuluh (10) kaedah-kaedah yang perlu digubal di bawah Akta 814 dapat disiapkan supaya pelaksanaan Akta 814 dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

Tambahnya lagi, penggubalan kaedah-kaedah tersebut telah diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan usaha sama daripada pelbagai pihak iaitu Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jawatankuasa Peguam Syarie (JKPS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council).

“Selain itu, beberapa siri bengkel secara intensif telah diadakan yang dikendalikan oleh pihak yang    berkepakaran, berkemahiran dan berpengalaman dalam penggubalan undang-undang yang dilantik oleh JAKIM,” ujarnya.

Beliau berkata, menurut subseksyen 49(1) Akta 814, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah, selepas tamat tempoh 30 hari dan tidak lewat daripada 60 hari dari tarikh permulaan kuat kuasa Akta 814, memanggil semua anggota Badan Peguam Syarie bagi suatu mesyuarat pada bila-bila masa dan mana-mana tempat yang akan ditetapkan olehnya untuk memilih tiga belas (13) anggota Majlis Peguam Syarie yang disebut dalam perenggan 48(2)(b) Akta 814 dalam kalangan anggotanya.

Sehubungan dengan itu, ujarnya Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama JAKIM sedang melaksanakan gerak kerja untuk menganjurkan mesyuarat agung Sadan Peguam Syarie yang pertama yang akan diadakan selepas habis tempoh 30 hari dari tarikh permulaan kuat kuasa Akta 814.

Tambahnya, selaras dengan penguatkuasaan Akta 814, Badan Peguam Syarie (BPS) Wilayah-Wilayah Persekutuan ditubuhkan di bawah subseksyen 42(1) Akta 814 yang antara lainnya bertujuan untuk menggalakkan dan menjaga kepentingan profesion guaman syarie.

“Matlamat penubuhan BPS ini adalah sama dengan penubuhan Bar Council Malaysia yang mengawal selia profesion guaman di mahkamah sivil,” katanya.

Idris berharap agar Akta 814 itu dapat memartabatkan institusi perundangan syariah dan memperkasa profesion guaman syarie melalui kawal selia profesion tersebut secara menyeluruh  setaraf dengan profesion guaman yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166].

Selain itu, ujarnya kewujudan Akta 814 itu juga diharapkan dapat meninggikan lagi kedudukan Mahkamah Syariah serta mengarus perdanakan undang-undang syariah setara dengan undang-undang sivil.

“Walaupun Akta 814 digubal bagi pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan, menjadi hasrat JAKIM supaya akta ini dijadikan undang-undang model untuk diterima pakai oleh negeri-negeri bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang berkaitan dengan profesion guaman syarie di Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close