Politics

Anak lemas ketika bapa tunai umrah

BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran Sayong Tebing di Kuala Kangsar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi, mangsa, Ahmad Fakhruddin Ahmad Farid yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemukan tersangkut di celah rumput di tebing sungai berkenaan.

Mayat mangsa ditemukan selepas sejam pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Ibu kanak-kanak itu, Nur Suriati Yusoff, 44, berkata, anaknya itu merupakan anak bongsu dari tiga adik-beradik.

Katanya, suaminya ketika ini sedang mengerjakan umrah di Mekah.

“Saya menghubungi suami yang sedang mengerjakan umrah. Kami berhubung menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp ketika jenazah arwah dimandikan sehingga selesai pengebumian.

“Suami memberi kata-kata semangat agar saya bersabar dan reda atas apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa Kubu Gajah, Gunung Semanggol dekat sini hari ini.

Menurutnya, malam semalam merupakan malam terakhir dia berkomunikasi dengan anaknya itu.

Katanya, ketika itu anaknya meminta telefon bimbit daripadanya.

Jelasnya, selepas solat Subuh, kira-kira pukul 6.40 pagi tadi anaknya itu masih berada di dalam rumah bermain di hadapan televisyen sementara dia bersiap-siap balik ke Gunung Semanggol untuk menghadiri mesyuarat.

“Setelah siap, saya dapati anak saya tiada di dalam rumah dan mendapati pintu pagar terbuka. Puas saya mencarinya di sekeliling rumah dan akhirnya menemukan seliparnya di jeti Sungai Sayong Tebing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mayat mangsa ditemukan terapung tersangkut di celah rumput di tebing Sungai Perak kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tiada menunjukkan sebarang kecederaan fizikal sebelum pegawai perubatan telah mengesahkan kematiannya.

“Hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close