Politics

Bekerjalah dengan baik, jangan menyusahkan orang lain

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 4️

ALLAH SWT melarang hamba-hamba-Nya yang mukmin mengikut perangai golongan munafik yang suka merosakkan akidah dan pemikiran ummah. Mereka sentiasa membuat tasykik atau kekeliruan dalam masyarakat sebagaimana halnya munafik pada zaman Nabi SAW. Apabila saudara-saudara mereka ingin keluar sama ada berperang atau berniaga mereka akan membuat tasykik sekiranya mereka tidak keluar, nescaya mereka selamat dan tidak mati sebagaimana matinya orang yang keluar. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ وَقَالُوا۟ لِإِخۡوَ ٰ⁠نِهِمۡ إِذَا ضَرَبُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَوۡ كَانُوا۟ غُزࣰّى لَّوۡ كَانُوا۟ عِندَنَا مَا مَاتُوا۟ وَمَا قُتِلُوا۟ لِیَجۡعَلَ ٱللَّهُ ذَ ٰ⁠لِكَ حَسۡرَةࣰ فِی قُلُوبِهِمۡۗ وَٱللَّهُ یُحۡیِۦ وَیُمِیتُۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan yang demikian itu suatu penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan”. (Al-Imran: 156)

Advertisement

Pada hakikatnya, tidak ada seorang pun yang hidup atau mati serta mendapat nikmat atau musibah melainkan dengan kehendak Allah SWT. Tidak ditambahkan pada umur seseorang, tidak pula dikurangi sesuatu dari usianya kecuali dengan keputusan dan takdir Allah SWT jua. Sekiranya ada yang mati atau terbunuh, tempat kembali hanyalah kepada Allah SWT dan Dialah yang akan memberikan balasan sesuai dengan amal perbuatannya. Jika amal perbuatannya baik, maka balasannya baik begitulah jika amal perbuatannya buruk, maka buruklah balasannya. Sepatutnya pesanan yang baik diberikan kepada saudara-saudara yang akan keluar berkerja bahkan membantu memudahkan urusan mereka dan bukan menghalangi urusan mereka sebagaimana perangai munafik dan mereka yang kufur kepada Allah SWT.

Kita dituntut supaya sentiasa membantu dan memudahkan urusan saudara kita yang lain dan bukannya menyusahkan atau menambah ketakutan kepada mereka. Orang yang suka menyusahkan orang lain pada hakikatnya berada dalam golongan yang hina dan dibenci Allah SWT kerana melanggar pesanan Nabi SAW dan terkena dengan doa yang telah dititipkan oleh Baginda SAW. Dalam hal ini Baginda bersabda:

مَنْ ضَارَّ مُسْلِمًا ضَارَّهُ اَلله وَمَنْ شَاقَّ مُسَلِّمًا شَقَّ اَللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memberi kemudaratan kepada seorang muslim, maka Allah akan memberi kemudaratan kepadanya, barangsiapa yang menyusahkan seorang muslim lain, maka Allah akan menyusahkannya”. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Bahkan Nabi SAW pernah berdoa kepada golongan yang suka memberi kesusahan kepada orang lain:

اَللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Ya Allah, barangsiapa yang mengurusi urusan umatku kemudian dia menyusahkan urusannya, maka susahkanlah dia”. (Riwayat Muslim)

Jika kita seorang pemimpin, pentadbir, pengurus dan pegawai yang mengurus hal ehwal rakyat, hendaklah permudahkan urusan mereka. Elakkan segala asbab yang boleh membantutkan urusan mereka, carilah jalan supaya urusan tersebut dapat dijayakan secara terbaik dan jangan sekali-kali terlibat dengan rasuah dan herdikan wang. Allah SWT pasti akan membalas dengan musibah yang lebih buruk dan hal ini perlu dijauhi oleh semua umat Islam.

Ayat di atas turut menggesa supaya jangan sekali-kali kita menimbulkan kekalutan serta ketakutan dalam masyarakat. Sudah tentu ada kalangan kita golongan susah dan dhuafa’ yang perlu disantuni akan tetapi jika ditambah dengan kenyataan-kenyataan yang membebankan lagi perasaan mereka, perbalahan dalam masyarakat akan semakin melebar. Hal ini akan membantut pembangunan kesejahteraan dalam masyarakat dan naungan keredhaan di sisi Allah SWT. Semoga kita semua dijauhi daripada golongan yang suka membuat kekeliruan dan menyusahkan orang lain.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
4 Ramadhan 1443/6 April 2022 – HARAKAHDAILY 6/4/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close