Politics

Cadangan kenaikan elaun pembantu Kemas pada fasa terakhir

TASEK GELUGOR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini  pada fasa terakhir untuk menyiapkan kertas kerja berkaitan isu elaun sebanyak RM500 yang diterima pembantu tabika di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kertas kerja itu akan dibawa untuk dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

“Kita berharap agar elaun ini dapat dinaikkan ke satu tahap yang lebih baik selepas ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama kakitangan Kemas Pulau Pinang di Midtown Perda, Kubang Menerong, di sini semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bagi membantu kira-kira 142 kakitangan Kemas di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19.

Kementerian tersebut sebelum ini pernah memohon supaya elaun pembantu Kemas itu dipertimbang untuk dinaikkan ke paras gaji minimum iaitu sebanyak RM1,200 kerana jumlah elaun yang diterima mereka buat masa ini tidak lagi sesuai disebabkan hampir semuanya berkhidmat secara sepenuh masa. 

Dalam perkembangan berasingan, Mahdzir memberitahu, Kemas kini sedang menjalin kerjasama dengan beberapa pihak untuk menjayakan program pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, antara pihak yang terlibat adalah Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Mereka ini (pihak yang terlibat) juga akan membantu menyokong pelan digital Kemas,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya juga menyasar menambah capaian internet atau jalur lebar di tabika-tabika Kemas di seluruh negara secara berperingkat.

“Untuk tahun ini sahaja, kita sasarkan sebanyak 700 buah tabika Kemas di seluruh negara akan dilengkapi dengan kemudahan tersebut selain dilengkapi laptop (komputer riba),” ujarnya.

Untuk rekod, ketika ini terdapat kira-kira 11,000 tabika Kemas di seluruh negara. – UTUSAN

 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close