Politics

Emosi Aidilfitri terakhir di Kampung Baru

Kenangan terakhir Rohani (tengah) bersama keluarga meraikan Aidilfitri pada tahun ini di kediaman mereka di Pangsapuri Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur. (FOTO HARAKAHDAILY/IHSAN ROHANI ABDUL RASHID)

Oleh YUSMAN AWANG, ZULHAIDI MANSOR dan SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Bayangkan selepas menetap sehingga lebih dua dekad di kawasan kediaman yang segalanya memudahkan rutin kehidupan harian, tiba-tiba anda sekeluarga dan jiran tetangga yang lain diarahkan berpindah.

Sudah pasti perasaan akan diamuk emosi nostalgia yang tidak akan pernah padam. Itulah yang dialami dalam benak perasaan beberapa penduduk Kampung Baru di sini ketika ditemui kru HarakahDaily baru-baru ini.

Advertisement

Segalanya bermula pada Julai tahun lalu, apabila penduduk pangsapuri di Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampung Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang mengarahkan mereka keluar dari kawasan itu dengan diberikan pampasan.

Isu pengambilan tanah di kawasan yang  melibatkan 67 unit rumah teres dan 264 unit rumah pangsapuri itu bermula sejak tahun 2016 lagi.

Penempatan 264 unit di Pangsapuri Kampung Sungai Baru di Kampung Baru ini diarahkan berpindah demi pembangunan dan pemodenan kawasan yang cukup strategik di Kuala Lumpur ini. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Pada 12 April tahun ini, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dalam satu kenyataan berkata,pemilik unit kediaman di tapak pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampung Bharu itu  masih dibenarkan mendiami kediaman mereka sehingga 31 Julai ini.

Sehubungan itu, mereka masih berpeluang menyambut Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini di kediaman mereka yang telah mengumpul sekian banyak nostalgia pahit dan manis itu.

Justeru bersempena Aidilfitri yang masih bersisa ini, kru HarakahDaily cuba menyelami untuk berkongsi perasaan penduduk di unit pangsapuri berkenaan tatkala meraikan sambutan raya di situ buat kali terakhir sebelum berpindah.

Khairul bersama anak bongsunya merakam kenangan di hadapan unit kediaman mereka di Pangsapuri Sungai Baru. (FOTO ZULHAIDI MANSOR)

Bukan mudah untuk menemu bual penduduk di situ kerana ada yang enggan ditemubual kerana gagal mengawal emosi kesedihan.

Ketika kru HarakahDaily membuat tinjauan pada jam 1 tengah hari di situ, kawasan kediaman  di pangsapuri berkenaan kelihatan lengang, dengan pintu tertutup rapat seolah-olah kebanyakan mereka sudah berpindah dari situ.

Kru HarakahDaily terpaksa mengetuk dari pintu ke pintu untuk menemu bual mereka, namun ada yang menolak untuk ditemubual dengan pelbagai alasan.

Pangsapuri Sungai Baru di Kampung Baru yang menyimpan banyak memori dan nostalgia buat penghuninya kini bakal menjadi sejarah silam. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Namun selepas tidak berputus asa mengetuk dari pintu ke pintu di unit bangunan pangsapuri berkenaan, HarakahDaily akhirnya berjaya menemu bual Rohani Abdul Rashid, 50, yang merupakan seorang pekerja badan berkanun kerajaan (GLC).

Menurut ibu kepada tiga anak ini, nostalgia yang sukar dilupakan adalah semangat kejiranan di kawasan pangsapuri itu yang sangat utuh dan murni seolah-olah terasa seperti berada dalam suasana di  kampung. 

Menurutnya, penduduk di pangsapuri berkenaan mempunyai semangat kejiranan yang kuat dan jitu kerana mereka senang untuk saling membantu antara sama lain. 

Biarpun terpaksa berpindah, setidak-tidaknya pada tahun ini penghuni Pangsapuri Sungai Baru, di Kampung Baru dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri terakhir mereka di sini. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

“Sepanjang saya menetap di sini, sebelum ini terdapat  golongan warga emas yang menyemai semangat kekeluargaan antara jiran-jiran di sini. 

“Suasana di sini ibarat berada di kampung di mana semangat bantu-membantu dan kekeluargaan disemai begitu kuat. Kesepakatan antara jiran-jiran dan penduduk di sini sangat utuh.

“Apabila pulang dari kerja, bau masakan yang menyelerakan dari rumah jiran menusuk ke hidung dan kami semua akan bersama-sama menjamu selera ibarat sebuah keluarga besar meskipun hanya berjiran.

“Kami  saling datang berkunjung  ke rumah jiran dan bantu-membantu antara satu sama lain. Ini menunjukkan ikatan kekeluargaan yang kuat terjalin antara penduduk di sini,” kenang Rohani.

Khairul bersama keluarganya bersyukur berpeluang menyambuit Ramadan dan meraikan Aidilfitri pada tahun ini buat kali terakhir di kediaman mereka di Pangsapuri Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. (FOTO ihsan Khairul Anuar)

Selain itu, ujarnya lagi, saat yang  paling dinanti-nantikan adalah apabila tibanya bulan mulia bulan Ramadhan kerana ia merupakan bulan rahmat untuk semua umat Islam.  

“Seterusnya, malam raya pula masing-masing sangat sibuk dan ramai jiran ataupun tetamu  yang datang berkunjung,” katanya.

Menurut Rohani lagi, suasana sangat meriah apabila  malam raya menjelma.dan semestinya yang ditunggu-tunggu adalah Hari Raya Aidilfitri. 

“Sambutan hari raya di sini  sangat menarik, menenangkan  dan ia disambut dengan penuh keceriaan oleh semua penduduk,” tutur wanita yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan sudah 26 tahun menetap di sini.

Tambahnya, di kawasan kediamannya di Kampung Baru, penghuninya tiada langsung dari kalangan orang asing. 

Pembangunan dan pemodenan Kuala Lumpur menyebabkan sebahagian daripada penghuni asal Kampung Baru terpaksa dipindahkan. (FOTO HARAKAHDAILYT/SYAHIRAH SALLEH)

“Sekiranya pemilik  ingin menyewakan rumahnya, penduduk di sini akan berbincang sesama sendiri dan hanya akan menyewakan kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Insya-Allah, keselamatan rumah dan penduduk di sini sentiasa terjaga dan terkawal. Semua ini akan menjadi kenangan yang sentiasa berada dalam ingatan saya dan keluarganya,” ungkap Rohani.

Seorang lagi penduduk pangsapuri di Kampung Sungai Baru yang sudi ditemubual HarakahDaily ialah pesara swasta, Khairul Anuar, 58 yang bakal berpindah dan turut berkongsi nostalgia terindahnya sepanjang 24 tahun menetap di situ.

“Memandangkan tahun ini adalah raya terakhir saya dan keluarga  di sini, antara nostalgia  yang sukar dilupakan sepanjang menetap di Kampung Baru  ini adalah kerana kemudahan di kawasan sekeliling yang sangat bagus dan mudah didapati. 

“Segala-galanya ada di sini seperti kedai makan, pengangkutan awam, dekat dengan tempat kerja dan sekolah anak-anak,” ungkapnya.

Lima daripada enam anak Khairul merakam kenangan raya terakhir di kediaman mereka di Pangsapuri Sungai Baru. (FOTO ihsan Khairul Anuar)

Menurut Khairul, rumah terbuka hari raya di situ pada setiap tahun begitu meriah dan menggamit memori. 

“Suasana di sini sangat menceriakan semua penduduk di sini dan kami ibarat sebuah keluarga besar. Suasana seperti ini sukar diperoleh di kawasan moden yang lain kerana di sini seolah-olah seperti suasana kampung yang hidup dalam harmoni dan aman damai.

“Di sini, berdasarkan pemerhatian saya, sekarang hanya tinggal sekitar enam atau tujuh buah  keluarga yang masih tinggal di sini. Kebanyakan penyewa telah pindah dari sini. 

“Tetapi saya merupakan pemilik kediaman ini dan saya telah tinggal di sini sejak zaman bujang lagi. Seperti yang saya maklumkan tadi,  kemudahan di sini sangat terbaik dan mudah didapati,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu dan telah menetap di Kampung Baru sejak 1998 bersama keluarganya.

Pangsapuri Sungai Baru, di Kampung Baru, Kuala Lumpur ini bakal tinggal kenangan. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Menurutnya yang memiliki enam orang anak, penduduk di pangsapuri berkenaan bakal dipindahkan ke sebuah kondominium di Kerinchi.

“Saya diberikan pilihan sama ada rumah atau pun wang pampasan. Ura-ura mengatakan penduduk di sini bakal dipindahkan dalam bulan Julai ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi segala memori sepanjang menetap di Kampung Baru akan melekat dalam benak fikiran dan sanubarinya.

“Mujurlah tahun ini, dah oleh beraya secara normal sejak dua tahun tak boleh beraya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pandemik Covid-19. Ini amat bermakna buat saya dan keluarga. 

“Setidak-tidaknya raya terakhir kami di Kampung Baru ini dapat kami raikan sepertimana sebelum ini dan itulah yang menjadi memori manis terakhir buat kami di sini,” akhiri Khairul berbaur emosi sayu dan nostalgia. – HARAKAHDAILY 13/5/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close