Politics

fokus pelaksanaan

SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor perlu memfokuskan faktor pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RSP) dan bukannya sekadar atas ‘kertas’ semata-mata.

Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri selama ini mengumumkan pelbagai perancangan seperti Belanjawan yang dilihat gah berbanding negeri lain.

Namun, katanya, faktor pelaksanaan itu amat mendukacitakan seperti projek pembangunan dan pengurusan aset selain pentadbiran yang tidak tersusun baik.

“Contohnya di kawasan DUN saya (Sungai Air Tawar), banyak bangunan dibina untuk diuruskan atau ditambah baik namun gagal mencapai tahap sepatutnya.

“Ada juga projek di Ladang Air Manis bernilai jutaan ringgit yang terbengkalai dan gagal disiapkan sekali gus menunjukkan kerajaan negeri bermasalah dalam soal pengurusan dan pelaksanaan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di Bagan Nakhoda Omar di sini, hari ini.

Selasa lalu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim memaklumkan pembentangan RSP akan menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan DUN Selangor ke-14 bermula 25 Julai ini.

Rancangan pembangunan dan hala tuju bagi tempoh lima tahun negeri itu akan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menerusi RSP itu, kerajaan negeri akan membuat rancangan khusus termasuk faktor pembangunan, sosioekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

Kata Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, kerajaan negeri turut diharap tidak kitar atau menjanakan semula RSP seperti belanjawan sebelum ini. 

“Kita tidak mahu ia hanya atas kertas semata-mata namun perlu ada sesuatu yang lebih baik berbanding kini.         

“Ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, pelbagai pembangunan dan pelaburan yang berjaya lakukan pada waktu itu,” ujarnya.

Tambah beliau, pembentangan RSP itu juga diharap tidak menganaktirikan kawasan pembangkang dan memberi hak sama rata kepada semua pihak. – UTUSAN

 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.