Politics

Gempa bumi 6.3 magnitud gegar pantai Taiwan

Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud dikesan melanda pantai Taiwan pada jam 2.30 petang, 9 Mei 2022. (FOTO USGS).

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda pantai Taiwan pada jam 2.30 petang Isnin (9 Mei) pada kedalaman 27 kilometer, kira-kira 70km di barat daya Yonakuni, sebuah pulau Jepun yang terletak  tidak jauh dari Taiwan.

Kenyataan daripada US Geological Survey (USGS) berkata, gempa bumi itu telah menyebabkan struktur  bangunan di ibu kota Taipei di sini bergoyang.

Advertisement

Sementara Biro Cuaca Pusat Taiwan dalam kenyataan lain pula berkata, gegaran itu yang kelima pada tahun ini melebihi magnitud 6.0, dirasai di seluruh pulau itu, walaupun tiada laporan segera diterima mengenai sebarang kerosakan.

“Semoga semua orang selamat… Mungkin ada beberapa gegaran susulan dan sila berhati-hati,” ujar Datuk Bandar New Taipei, Hou You-yi di Facebook miliknya.

Agensi Meteorologi Jepun pula menganggarkan gegaran pada magnitud 6.6 dan berkata ia mungkin menyebabkan turun naik kecil paras laut, tetapi tidak mengeluarkan amaran tsunami.

Taiwan dan kawasan sekitarnya kerap dilanda gempa bumi kerana  terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik.

Lebih 100 orang terbunuh dalam gempa bumi di selatan Taiwan pada 2016, manakala gempa 7.3 magnitud menyebabkan  lebih 2,000 maut pada 1999.

Pada bulan Mac tahun ini, gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang melanda pantai timur Taiwan menggegarkan bangunan dan mengejutkan  orang ramai dari tidur, menyebabkan seorang cedera dan  jambatan separuh dibina di timur pulau itu runtuh.

Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud atau lebih boleh membawa maut kepada penduduk, walaupun ia bergantung pada lokasi dan sejauh mana  jumlah kedalaman impak gempa bumi berkenaan. – Agensi



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close