Politics

Gerakkan apa cara, asal Crackhouse Comedy ditutup

PEMUDA PAS menzahirkan kekecewaan dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghina agama, sekalipun bertopengkan stand up comedy.

Ia bukan sahaja ditegah oleh Islam, malah di sisi undang-undang sendiri, perbuatan mempersenda agama adalah dilarang dan dianggap sebagai sebuah jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Tahniah kepada kerajaan dan pihak berkuasa atas tindakan segera dan proaktif dalam membawa pelaku dan pasangannya ke muka pengadilan.

Advertisement

Ini menunjukkan kerajaan amat serius dalam isu melibatkan keharmonian beragama.

Komitmen turut dizahirkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad untuk tidak bertoleransi dengan sebarang tindakan menghina agama Islam.

Isu penghinaan terhadap agama ini tidak berakhir dengan penangkapan mereka sahaja.

Secara faktanya, Kelab Crackhouse Comedy di Taman Tun Dr Ismail telah sekian lama menjadi platform mencetuskan ketidakharmonian agama dan kaum melalui stand up comedy mereka secara berterusan. 

Perkara ini boleh dilihat menerusi video yang dimuatnaik oleh pengasasnya sendiri, Rizal Van Geyzel. Malah, beliau sendiri telah beberapa kali membuat sendaan terhadap agama Islam melalui ciapan-ciapannya, walaupun beliau sendiri adalah seorang Muslim.

Pemuda PAS menggesa agar tindakan tegas turut diambil kepada Rizal Van Geyzel dan Kelab Crackhouse Comedy.

Kelab komedi seperti ini perlu ditutup terus dan tidak dibenar beroperasi, kerana kegagalan merka untuk menapis pengisian-pengisian mereka, malah secara konsisten menganjurkan komedi berbaur penghinaan kepada agama serta mencetus ketidakharmonian antara kaum.

Penutupan sementara bukan lagi jalan penyelesaian kerana ia telahpun menjadi barah, dan khuatir suatu masa nanti menjadi norma kebiasaan kepada masyarakat untuk menerima komedi-komedi tidak sensitif seperti ini. 

Islam tidak melarang senda gurau dan perkara menghiburkan hati, tetapi mestilah berpandukan batasan yang sesuai.

Semoga tindakan tegas ini menjadi pengajaran dan isyarat buat seluruh masyarakat di tanah air kita untuk tidak menjadikan agama dan bangsa permainan senda gurau murahan.

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
14 Julai 2022 | 14 Zulhijjah 1443 – HARAKAHDAILY 14/7/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.