Politics

Juruterbang pelatih cedera pesawat tergelincir

LANGKAWI: Seorang juruterbang pelatih wanita cedera selepas pesawat yang dikendalikannya tergelincir semasa melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, malam ini.

Mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada bahagian pinggang dan lutut kedua-dua belah kaki.

Juruterbang terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini dengan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon dalam satu kenyataan di sini berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.15 malam.

“Pegawai operasi JBPM Kedah  mengarahkan dua jentera, satu EMRS dan satu water tanker dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah pesawat latihan jenis Diamond-14 tergelincir daripada landasan ketika pesawat sedang mendarat,” katanya.

Kata beliau, seorang mangsa yang merupakan juruterbang pesawat berkenaan didapati mengalami kecederaan dan dikeluarkan daripada pesawat tersebut oleh pasukan bomba LTAL sebelum dibawa ke HSM.

Sementara itu, sekurang-kurangnya dua penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ditangguhkan susulan kejadian berkenaan kerana landasan LTAL ditutup susulan insiden tersebut.

Penumpang penerbangan tersebut antaranya terdiri daripada pengamal media yang baru selesai menghadiri Program Pemukiman Ahli Jawatankuasa (AJK) Kelab Media SeMalaysia.

Salah seorang penumpang, Setiausaha Kelab Media Putrajaya, Samantha Tan, 41, berkata, kru penerbangan mengedarkan makanan kepada penumpang yang terlibat.

“Keadaan di dalam pesawat terkawal walaupun ada kanak-kanak yang menangis,” katanya. – UTUSAN




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close