Politics

Kampung Batu Uban ‘diancam’ agenda pembangunan?

KAMPUNG Batu Uban, Gelugor secara zahirnya dilihat sedang berubah wajah kepada kepentingan ekonomi dan komersial sejajar arus pembangunan dan kemodenan menuju masa depan.

Namun hakikat sebenar, densiti tinggi pembangunan yang diadakan sekelilingnya adalah langkah strategik mengusir dan menghapus lenyapkan kampung tradisi bersejarah itu dari bumi Pulau Pinang.

‘Rampasan’ sistematik berselindung di sebalik pemodal kapitalis tersebut begitu gagah menjarah segala khazanah terkandung kerana ditatang ‘kerajaan penjajah’ alaf baharu yang menerajui kuasa.

Warisan yang menghampiri usia 300 tahun itu dengan sangat mudah mahu dikorbankan tanpa kompromi tidak lain hanyalah disebabkan ia telah bermula, tertegak dan berlegasi daripada Islam.

Bukti nyata itu jelas menjadi ‘mangsa’ dendam kesumat golongan kufar yang sentiasa dengki kepada agama Allah SWT, sedangkan peninggalan mereka pula diberi penjagaan dan perlindungan.

Lebih malang, lokasi terawal kependudukan di pulau tersebut terhakis sedikit demi sedikit lantaran sikap curang khianat politikus yang menggadai tanah sekangkang kera kepada pemaju kroni.

Advertisement

Sejarah yang dikuburkan

Menurut catatan yang ada, Kampung Batu Uban dibuka pada tahun 1730-an hasil perkenan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Syah II yang bertakhta dari 1710 hingga mangkat pada 1778.

Hal ini diperkukuhkan lagi buktinya apabila Masjid Jamek di situ wujud sejak tahun 1734 setelah dirintis sebagai penempatan kemasyarakatan oleh Syeikh Mohammad Salleh al-Makkawi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan serta mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Minangkabau turut direkod memilih Batu Uban menjadikan ia sebuah pelabuhan.

Malah, kedudukan Batu Uban selaku sebuah bandar turut berada dalam peta lakaran Kapten Walter Alves pada tahun 1763, yakni jauh lebih dahulu daripada kedatangan Francis Light tahun 1786.

Tetapi fakta itu cuba disemadikan, sebaliknya minda generasi sedaya upaya dipaksa untuk memperakukan bahawa si penjajah itulah kononnya penjasa yang mengembangkan tamadun di Pulau Pinang.

Intensif itu sehingga melobi kepada Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang membawa pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dengan status itu, segala artifak peninggalan penjajah dan imigran yang datang ke Pulau Pinang dipelihara dan dilindungi sebagai aset warisan sejarah serta dipromosikan untuk pelbagai tujuan berfaedah.

Juga pewartaannya menjadi satu jaminan untuk tidak disentuh oleh sebarang rombakan, jauh sekali diusik, sebaliknya dipertinggi dan dimartabatkan lagi dengan sanjungan serta penghormatan.

Berbeza nasib Batu Uban, sungguhpun letaknya kurang 10 kilometer dari George Town, namun jelas dilayan secara diskriminasi dan dianaktirikan, lalu dihimpit bangunan mewah bagi menggantikannya.

Kasihan sekali watan ini, setelah dijajah hingga Sultan sebagai tuan pemilik amanah nusa juga disanggah oleh muslihat penaklukan, anak bangsa era ini pasrah mengizinkan penjajahan baharu berlaku lagi.

Mustahil berkuasa tanpa tanah

Pengerusi Masjid Jamek Batu Uban, Sk Abdul Aziz Sk Mohamed tetap optimis warisan sejarah dan tanah kependudukan di situ masih terus dapat dipertahankan dengan syarat umat Islam bangun berjuang dan bersatu.

Cerita beliau, usaha agresif untuk mengambil tanah tersebut sebenarnya telah berlaku sejak tahun 1960-an lagi, tetapi ia banyak tergadai disebabkan sikap khianat ahli politik Melayu sendiri.

“Baitulmaqdis, Palestin bumi Anbiya’ beribu tahun. Allah sebut dalam Quran kan? Allah jaga. Tapi Batu Uban tak disebut dalam Quran, agak-agak Allah nak pandang kita? Allah akan pandang kita kalau kita beramal ikut (ketetapan) Dia,” ujarnya mengajak baki penduduk yang ada bersama mempertahankan tanah di situ atas semangat Islam.

Kerana bagi beliau, tindakan pihak-pihak yang mahu merobohkan warisan sejarah tersebut mempunyai persamaan dengan perbuatan Abrahah bersama tentera bergajahnya mahu meruntuhkan Kaabah.

Jelasnya, mereka itu mempunyai kedengkian terhadap Islam sepertimana Abrahah, namun beliau yakin kesatuan Islam akan membawa pertolongan Allah untuk memelihara Batu Uban sebagai milik umat Islam sebagaimana Dia menjaga Kaabah.

Membacakan ayat 55 surah an-Nur mengenai janji Allah memberikan kekuasaan kepada kalangan orang beriman dan beramal soleh, beliau mengingatkan mesej besar daripada ayat itu.

Kupas beliau, Allah telahpun menetapkan janji-Nya, tetapi terletak kepada orang Islam untuk beriman dan beramal soleh supaya tidak berlaku tanah diwarisi diambil hingga kuasa pemerintahan juga tidak layak diberikan kepada mereka.

Sk Abdul Aziz Sk Mohamed

Diabai dan dibiarkan

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim sama sekali tidak dapat menolak untuk menyatakan nasib dan masa depan tanah umat Islam di negeri itu bagaikan persamaan di bumi Palestin.

Walaupun hal itu menyebabkan beliau diadukan ke siasatan polis, tetapi begitulah pemahaman mudah sebagaimana al-Quran iktibarkan kisah generasi terdahulu bagi pengajaran umat akhir zaman.

PAS beritahunya, menerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat sejak sekian lama telah mengangkat perhatian untuk warisan sejarah di seluruh negara kekal dipertahankan dan dipelihara oleh pihak berkuasa.

Kata beliau, perjuangan PAS untuk Kampung Batu Uban khususnya telah disuara ke perhatian pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2006 lagi.

Hinggalah pada tahun 2012 ujarnya, telah menghantar memorandum kepada Dato’ Seri Dr Rais Yatim dan tahun 2013 kepada Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; yakni selaku Menteri yang memegang portfolio berkaitan warisan ketika itu.

Pun begitu kesalnya, sehingga ke hari ini Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan langsung tidak berusaha mewartakan Batu Uban sebagai warisan negara, jauh sekali untuk mendapat pengiktirafan UNESCO.

Sedangkan rumah ibadat kaum Sikh, Wadda Gurdwara Sahib di George Town telah diumum akan diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan walaupun ia berusia 122 tahun yakni jauh lebih muda dari Kampung Batu Uban.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 19/3/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.