Politics

Kedah bermula langkah sumbang

PETALING JAYA: Kedah Darul Aman (KDA) bermula langkah sumbang dalam aksi pembukaan Piala AFC apabila tumpas 0-2 kepada tuan rumah, Bali United di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali hari ini.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menurunkan beberapa muka baharu yang disunting ketika jendela perpindahan kedua seperti Mahmoud Al Mardi, Sanrawat Dechmitr serta Mohd. Akmal Zahir, namun ia tidak cukup untuk berikan impak buat pasukan Hijau Kuning.

Sebaliknya tuan rumah yang rancak mengawal permainan biarpun perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan renyai.

Bali United meraih gol pembukaan beberapa saat sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan sendiri pemain Kedah, Wanja Ronald Ngah selepas cubaannya menghadang sepakan percuma Eber Bessa gagal.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati.

Pemain Kedah (jersi kuning) cuba melepasi kawalan pemain Bali United dalam saingan Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali hari ini. – IHSAN KDA FC

Bali United cuba menggandakan jaringan, namun rembatan kencang Ilija Spasojevic pada minit ke-54 tersasar.

Begitupun usaha keras tuan rumah akhirnya berhasil apabila Rahmat Syamsudin menanduk masuk hantaran silang rakan sepasukan, Privat Mbarga untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kemenangan itu meletakkan Bali United memimpin carta kumpulan G, sementara Kedah terperosok di dasar.

Selepas ini Kedah bakal berentap dengan wakil dari Filipina, Kaya FC pada Isnin depan. – UTUSAN ONLINE




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close