Politics

Kedah menang tipis ke atas Sri Pahang

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sri Pahang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Sebaik perlawanan dimulakan, Sri Pahang terlebih dulu mengatur serangan untuk memburu gol awal untuk membangkit semangat bertarung di gelanggang lawan.

Namun, Kedah berjaya membalas serangan dan berjaya melakukan percubaan tepat menerusi penyerang utama, Ronald Ngah Wanja selepas berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan pelawat dalam kotak penalti lawan, seawal minit ke-4.

Bagaimanapun pemain import dari Cameroon itu kecewa apabila penjaga gol tinggi lampai Sri Pahang, Mamadou Samassa merebahkan badan untuk menampan percubaannya, sekali gus menafikan hasratnya untuk mencetak gol awal.

Tidak terhenti di situ, skuad Sang Kenari terus mengasak melalui percubaan dilakukan Mohd. Syazwan Zainon dan Dechi Marcel pada minit ketujuh serta kesembilan namun kedua-duanya gagal menepati sasaran.

PEMAIN lincah Kedah, Fayadh Zulkifli cuba melepasi halangan pertahanan Sri Pahang, Muslim Ahmad dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.-UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Perlawanan selepas itu berlangsung tanpa ada percubaan menarik kedua-dua pasukan selain sepakan percuma diambil Kapten Pahang, Mohamad Muslim Ahmad yang tepat menuju ke gawang tuan rumah, namun berjaya dipatahkan penjaga gol Kedah, Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-43.

Hanya tiga minit selepas perlawanan bersambung di babak kedua, pemain sayap tuan rumah, Mohamad Fayadh  Mohd. Zulkifli melakukan gerakan solo melepasi kawalan beberapa pemain pertahanan Sri Pahang namun sepakan leretnya tersasar ke kiri gawang pelawat.

Kedah kemudiannya datang lagi pada minit ke-53 apabila hantaran lambung Dechi Marcel tepat sampai kepada Syafiq Ahmad dalam kotak penalti lawan namun ketinggian 1.97 dimiliki Mamadou Samassa, nyata menjadi kelebihan buat penjaga gol berasal dari Mali tersebut untuk melonjak dan menafikan percubaan penyerang kebangsaan itu.

Hanya seminit berselang, Syafiq kemudiannya terlibat dalam menghasilkan gol tunggal perlawanan apabila tandukan ke bawah dilakukannya, gagal ditangkap kemas Mamadou.

Bola ditampan Mamadou itu kemudiannya tiba tepat di kaki tonggak pertahanan Kedah, Rodney Celvin yang berada betul-betul di depan pintu gol lawan, sebelum dia bertindak bijak menyungkit bola tersebut ke gawang Sri Pahang FC bagi membuka jaringan.

Sri Pahang jelas tidak mahu berputus asa dengan turut melakukan serangan balas namun jaringan dilakukan pemain tengah mereka, David Rowley pada minit ke-62, dibatalkan setelah dia terlebih dulu berada dalam kedudukan ofsaid. – UTUSAN ONLINE




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close