Politics

Letak jawatan sebagai tanda protes – Mohd. Bakke

KUALA LUMPUR: Selepas tidak mendapat sebarang maklum balas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung salah laku kewangan yang berlaku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas Pengerusi syarikat terbabit, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh memutuskan untuk meletakkan jawatan.

Ini kerana beliau merasakan Ahli Parlimen Pekan itu turut terlibat dalam salah laku tersebut dan sesuatu yang salah sedang berlaku di belakangnya selaku Pengerusi.

“Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk melaporkan salah laku kewangan 1MDB kepada pihak berkuasa kerana beranggapan saya telah pun berbuat demikian apabila telah memaklumkan mengenai salah laku itu kepada Najib melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Saya berharap Najib akan mengambil langkah yang sepatutnya terhadap pihak pengurusan 1MDB sekiranya beliau menjumpai sebarang salah laku berlaku. Memandangkan kerisauan saya tidak mendapat perhatian sewajarnya kerana Najib tidak membalas SMS saya, saya merasa Najib terlibat (dalam salah laku) dan sesuatu yang salah sedang berlaku tanpa pengetahuan saya.

“Ini antara punca utama saya meletakkan jawatan,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu.

Menurut Mohd. Bakke mengarahkan setiausahanya untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatannya ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Saya letak jawatan sebagai tanda protes dan saya tidak mahu lagi terlibat dalam apa jua perbincangan dan keputusan berkaitan 1MDB. Tiada siapa yang arahkan saya untuk letak jawatan. Peletakan jawatan saya adalah kerana pengurusan 1MDB enggan mematuhi arahan Ahli Lembaga Pengarah.

“Saya tidak menghantar sendiri surat peletakan jawatan kerana beliau (Najib) mungkin akan memujuk saya untuk tidak berbuat demikian. Saya tidak mengumumkan peletakan jawatan saya bagi menjaga reputasi Najib.

“Saya juga bersetuju dengan tindakan Tan Sri Azlan yang mengatakan akan meletakkan jawatan tidak berapa lama selepas saya berbuat demikian bagi tidak menyinggung atau memalukan Najib selaku Perdana Menteri dan bagi mengelakkan Perdana Menteri berfikir bahawa kami tidak mahu membantunya dalam 1MDB,” kata Mohd. Bakke ketika membaca pernyataan saksinya.

Mohd. Bakke meletakkan jawatannya pada 19 Oktober 2009 manakala bekas pengarah 1MDB Tan Sri Azlan Mohd. Zainol meletakkan jawatan pada 11 Januari 2010.

Tambahnya, mereka tidak meletakkan jawatan pada tarikh yang sama bagi mengelakkan sebarang tanggapan salah di mata awam terhadap Najib dan 1MDB.

Terdahulu, Mohd. Bakke memberitahu pemindahan wang AS$1 bilion milik 1MDB ke PetroSaudi International Ltd (PSI) (AS$700juta) dan 1MDB-PetroSaudi (AS$300 juta) tidak mendapat kebenaran daripada Ahli Lembaga Pengarah dan perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

“Saya mengesyaki mungkin terdapat arahan yang diberikan daripada pihak tertinggi kepada Datuk Shahrol berhubung pemindahan wang tersebut, tetapi, saya tidak pernah bertanya kepada Shahrol mengenai perkara tersebut. Pihak tertinggi yang saya maksudkan di sini ialah Najib atau Jho Low,”katanya.

Mohd. Bakke berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. –UTUSAN ONLINE

 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close