Politics

Madinah Ramadan

KOTA BHARU: Penganjuran program Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini akan diteruskan seperti biasa susulan peralihan fasa endemik negara bermula 1 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, turut dibenarkan beroperasi sepanjang bulan puasa kelak ialah bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri.

Sehubungan itu katanya, peniaga diminta mematuhi garisan panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan kelancaran aktiviti yang membabitkan orang ramai tersebut.

“Setakat ini permohonan untuk bazar Ramadan sudah diluluskan dan urusan seterusnya kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Jika di Kota Bharu di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), bazar Ramadan diuruskan oleh pemajak dan setakat ini sebanyak 13 tapak bazar akan dibuka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Gotong-Royong Pesisir Pantai di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Madinah Ramadan, Dr. Izani berkata, hanya 500 individu dibenarkan menyertainya pada setiap malam sepanjang Ramadan dengan pematuhan ketat SOP sedia ada bagi mengelak penularan Covid-19.

“Setakat ini persiapan untuk menjayakan Madinah Ramadan sudah pun bermula seperti mendirikan khemah di pekarangan stadium.

“Selepas negara beralih kepada fasa endemik ini, kita berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat diraikan seluruh umat Islam,” katanya. – UTUSAN

 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.