Politics

MAIPs gagal jadi pencelah dalam petisyen penceraian

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) gagal bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen perceraian seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong dan bekas suami mualaf yang kemudian menukar agama ketiga-tiga anak mereka.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini berpuas hati MAIPs gagal membuktikan ia mempunyai kepentingan dengan ketiga-tiganya iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Hakim Evrol Mariette Peters ketika menolak permohonan itu berpendapat, tiga beradik itu bukan anak yatim piatu atau milik masyarakat Perlis.

Sebaliknya jelas hakim berkenaan, mereka menetap di Selangor dan hanya ke Perlis untuk ‘sementara’ atas urusan pertukaran agama.

Mahkamah turut memerintahkan MAIPs membayar kos RM8,000 kepada Siew Hong, 34, selaku pempetisyen.

MAIPs memohon bertindak sebagai pencelah bagi membolehkannya memohon perintah variasi (variation order) supaya kebajikan kanak-kanak mualaf ini terjaga.

MAIPs mempunyai tanggungjawab statutori untuk menjaga kebajikan hal ehwal orang-orang Islam yang mana dalam hal ini membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Sementara itu, peguam Malcom Fernandez yang mewakili Muhammad Nagahswaran Muniandy berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan baharu untuk mendapatkan akses bagi membolehkan anak guamnya berhubung dengan ketiga-tiganya.

Mualaf itu yang kini ditahan di penjara di Kelantan atas kesalahan jenayah, dibenarkan berhubung dengan mereka menerusi sidang video setiap minggu.

Bagaimanapun, peguam A. Srimurugan yang mewakili Siew Hong menyatakan pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya berkaitan perkara tersebut.

Dalam pada itu, hakim berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan Malcom supaya mahkamah mengendalikan sesi temu bual dengan ketiga-tiganya.

Hakim Evrol Mariette berpendapat, pertikaian itu berkaitan hak anak-anak, bukan ibu bapa.

Pada 7 Mac lalu, MAIPs memfailkan permohonan sebagai pencelah dalam usaha mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga kanak-kanak berkenaan.

MAIPs turut mahukan akses supaya dapat menyalurkan sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat serta bantuan lain yang dibenarkan syarak melalui ibu mereka sendiri.

Pada 21 Februari lalu, tiga beradik itu yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan serta-merta kepada ibunya selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus wanita itu.

Pada 25 Mac lalu, Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Azri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam mereka bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.

Nagahswaran didakwa telah melarikan ketiga-tiga anaknya sebelum menempatkan mereka di sebuah pusat jagaan badan bukan kerajaan (NGO).

Siew Hong mendapat hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021. – UTUSAN




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close