Politics

Malaysia bangkit benam Thailand

PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen memburu ‘ibu segala emas’ dengan menumpaskan pasukan pilihan, Thailand dalam aksi pembukaan Kumpulan B, bola sepak lelaki Sukan SEA Vietnam di Stadium Thien Truong, sebentar tadi.

Beraksi dengan kelebihan seorang pemain hampir 50 minit nyata dimanfaatkan anak didik Brad Maloney untuk menjaringkan dua gol pada babak kedua selepas ketinggalan pada separuh masa pertama.

Turun berdepan Thailand yang merupakan juara 16 kali, corak permainan Malaysia dilihat sedikit tenggelam dengan lebih banyak menerima asakan berbanding peluang mengatur gerakan.

Tanpa sebarang percubaan dalam 20 minit pertama, peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-23 menerusi Luqman Hakim Shamsudin namun pemain berkenaan gagal gagal meletakkan bola dalam gawang gol.

Malaysia ketinggalan pada minit ke-33 selepas penyerang Thailand, Patrik Gustavsson berjaya meloloskan diri memperdayakan tiga pertahanan Malaysia menerusi gerakan solo sebelum menolak mudah untuk menewaskan Azri Ghani.

Berselang lapan minit kemudian, Thailand terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahannya, Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah kerana mengasari Syahir Bashah yang dilihat berpeluang menjaringkan gol.

Memasuki babak kedua, gol penyamaan yang dicari akhirnya muncul menerusi jaringan Danial Asri yang bijak menyambar hantaran lintang dari ketua pasukan Mukhairi Ajmal pada minit ke-61.

Ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, pemain Terengganu FC II, Azfar Fikri Azhar memastikan tiga mata penuh buat pasukan selepas menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan Brad Maloney mengungguli Kumpulan B dengan tiga mata dan bakal menentang Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup kempen peringkat kumpulan berdepan Kemboja pada 16 Mei.

Pada edisi 2019 di Manila, barisan pemain negara pulang awal apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki adalah pada 2011 di Jakarta apabila mereka menewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penentuan penalti.

Malaysia juga hampir merangkul pingat emas pada edisi 2017 di laman sendiri, namun dikecewakan Thailand 1-0 di pentas akhir.

Terdahulu, dua jaringan lewat permainan menyelamatkan maruah Singapura daripada dimalukan Laos apabila mereka terikat 2-2 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung pada sebelah petang.

Laos mendahului 2-0 hasil jaringan Ekkamai Ratxachak (m14) dan Chony Wenpaserth (m50), namun Singapura bangkit di hujung permainan dengan jaringan Glenn Kweh (m89) dan Jordan Emaviwe (m90+6). – UTUSAN ONLINE




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.