Politics

Malaysia bersedia buka sempadan – Khairy

SEPANG: Kerajaan akan memastikan proses pembukaan sempadan negara termasuk laluan udara dan darat pada 1 April nanti berjalan lancar, selamat, cekap dan tanpa banyak karenah birokrasi. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memastikan Malaysia cukup bersedia dan selamat untuk pelancong. 

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan proses kemasukan pelancong asing di pintu udara negara dapat disingkatkan kepada 35 hingga 45 minit berbanding sejam ketika ini. 

“Justeru, banyak prasyarat perlu dipatuhi dan diselesaikan terlebih dahulu oleh pelancong asing sebelum memasuki negara termasuk memuat naik aplikasi MySejahtera dan ujian saringan Covid-19.

“Kesemua prasyarat itu perlu dilakukan sebelum mereka menaiki pesawat sekali gus mengelak kesesakan di lapangan terbang,” katanya. 

Khairy ditemui media selepas menghadiri sesi taklimat siap siaga pembukaan sempadan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. 

Kata Khairy, mulai 1 April ini juga, semua fasiliti ujian saringan Covid-19 di KLIA dan klia2 akan ditutup. 

Khairy berkata, perincian mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara termasuk udara dan laut akan diumumkan dalam sidang akhbar Selasa ini. 

Sementara itu, Ka Siong berkata, pihaknya akan memastikan segala urusan terutama di KLIA dan KLIA2 dapat berjalan lancar menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini. 

Katanya, kali ini, kerajaan dalam keadaan berhati-hati dan segala urusan harus dilakukan dengan baik dan dipermudahkan. 

“Justeru, kita sudah arahkan semua syarikat penerbangan supaya memastikan setiap penumpang mereka memuat turun aplikasi MySejahtera kerana ia satu prasyarat untuk masuk ke Malaysia. 

“Ia akan dapat mengurangkan kesesakan ketika tiba di negara ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara yang diperkenalkan sebelum ini mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan 277,800 orang. 

“Ia satu pencapaian yang baik sekali gus memberi impak besar kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.  –UTUSAN ONLINE




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.