Politics

Malaysia tamatkan penantian lebih 40 tahun

Foto daripada Facebook Football Association of Malaysia.

KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad untuk melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 dalam suasana penuh emosi di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam ini.

Kejayaan membanggakan itu hadir selepas skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon berpesta gol membelasah Bangladesh 4-1, pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia.

Kemenangan disaksikan 52,964 penonton itu, membolehkan pasukan negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan kemaraan ke Piala Asia 2023, selaku antara lima naib juara terbaik kumpulan.

Advertisement

Keempat-empat gol pasukan negara malam ini masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.

Pada aksi bersejarah itu, Malaysia yang bermotivasi tinggi untuk memburu tiga mata memulakan perlawanan dengan garang, apabila memberikan amaran seawal minit keenam apabila rembatan penyerang Muhammad Syafiq Ahmad terkena tiang, tatkala penjaga gol Anisur Rahman sudah tertewas.

Asakan demi asakan dilancarkan Malaysia di awal permainan membuahkan hasil, apabila Muhammad Safawi Rasid meletakkan pasukan di depan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti, susulan Matthew Davies dijatuhkan Mohammad Atiqur Rahman.

Tiga minit berselang, Muhammad Safawi terlepas peluang menggandakan kedudukan buat Malaysia dan meraih gol kedua peribadinya malam ini, selepas tandukan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang tidak dikawal berjaya ditepis Rahman.

Ketika Malaysia mendominasi permainan, Bangladesh ‘mendiamkan’ seketika suasana Stadium Nasional, apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-31, selepas Mohammad Ibrahim menanduk masuk bola yang berpunca dari lontaran ke dalam jarak jauh rakan sepasukan.

Namun pasukan negara pantas memberikan respons apabila kembali mendahului perlawanan pada minit ke-38, menerusi rembatan kaki kiri pemain pertahanan Dion Cools yang gagal ditampan kemas Rahman, sekali gus meledak gol pertamanya bersama skuad kebangsaan.

Malaysia terus menguasai permainan dan berjaya melebarkan defisit jaringan apabila Muhammad Syafiq yang juga kapten malam ini, menanduk masuk hantaran jarak jauh Mohamad Faisal Halim selepas dua minit bersambung babak kedua.

Pasukan lawan yang dibimbing Javier Fernandes Penato mempunyai peluang merapatkan kedudukan pada minit ke-57, namun rembatan pemain gantian Md Foysal Ahmed Fahim dari jarak dekat berjaya ditepis penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi.

Pasukan negara yang kali terakhir mara secara merit ke Piala Asia pada edisi 1980 di Kuwait mengesahkan kemenangan dengan jaringan keempat, selepas pemain gantian Darren Lok memanfaatkan hantaran Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-73.

Bagaimanapun, impian Muhammad Akhyar untuk mencetak nama sebagai penjaring selepas tandukannya pada minit ke-79 hanya terkena palang, sekali gus keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil Zaid Thamer Mohammed dari Iraq.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama. – BERNAMA



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close