Politics

Mana pelan kecemasan dalam garis panduan Sekolah 4.0?

PETALING JAYA: Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah 4.0 yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan dianggap tidak lengkap kerana tidak menyentuh pelan kecemasan jika berlaku penularan kes Covid-19 baharu di sekolah.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pengumuman itu sepatutnya melibatkan pelan kecemasan untuk tindakan pihak sekolah, ibu bapa dan murid-murid.

“Walaupun kes baru semakin menurun, kes baharu Covid-19 masih melepasi empat angka pada 28 April 2022 kes baru ialah sebanyak 3,471 kes dengan 161 kes telah dirujuk ke hospital. 

“Ini menunjukkan situasi masih belum selamat sepenuhnya. Bagi memastikan tahap keselamatan murid-murid terpelihara, Kementerian Pendidikan sepatutnya memasukkan maklumat pelan kecemasan sebagai sebahagian daripada Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyifatkan, data-data terkini ‘baseline’ impak pandemik Covid-19 terhadap sektor pendidikan negara seperti data keciciran pembelajaran dan data pencapaian pembelajaran murid-murid perlu dimaklumkan secara jelas dalam garis panduan pengoperasian sekolah ini sebagai makluman ibu bapa.

“Berdasarkan data-data ‘baseline’ tersebut, ibu bapa tentu ingin tahu apakah langkah-langkah pemulihan yang akan dilaksanakan oleh kementerian apabila sekolah dibuka semua seperti biasa?” soalnya.

Beliau turut meminta penjelasan terhadap status 150,000 peranti dan komputer riba yang telah diedarkan kepada murid-murid sebelum ini.

Ini termasuk pembelian peranti oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka melakukan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

“Apakah kementerian mempunyai rancangan untuk meneruskan sistem pembelajaran hibrid walaupun kehadiran ke sekolah telah diwajibkan? 

“Apakah usaha pendigitalan pendidikan akan dipinggirkan dan terkubur selepas sesi persekolahan kembali seperti biasa? 

“Di saat sistem pendidikan di negara-negara maju mula mengamalkan pendigitalan pendidikan sepenuhnya dalam sistem persekolahan mereka,  apakah agenda pendigitalan pendidikan negara kita bergerak ke arah yang sama pasca pandemik Covid-19 atau sistem pendidikan negara kita akan kembali ke belakang semula selepas ini?” soalnya.-UTUSAN 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close