Politics

Mayat warga asing ditemukan terapung di Sungai Plentong

Johor Bahru: Mayat wanita dipercayai warga asing ditemukan terapung di Sungai Plentong, Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai di sini, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berusia 64 tahun itu daripada orang awam kira-kira 10.45 pagi.

“Polis turut mengesan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang membuat laporan orang hilang dipercayai waris warga emas itu kerana mengecam pakaian dipakai si mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, wanita tempatan itu juga sebelum ini dipercayai tinggal bersama dengan si mati.

Katanya, mayat warga asing itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk proses bedah siasat.

“Polis masih menjalankan siasatan dan peringkat ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar menerusi kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima panggilan bantuan mengangkat mayat pada 12.11 tengah hari.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa wanita dewasa berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai seperti yang dinyatakan oleh polis.

“Mangsa sudah meninggal dunia selepas disahkan pihak petugas kesihatan di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 2.45 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close