Politics

Media sosial gagal buang hampir 90 peratus kandungan Islamofobia

LONDON: Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan TikTok, gagal membuang hampir 90 peratus kandungan anti-Muslim dan Islamofobia pada platform berkenaan.

Ini adalah hasil kajian Pusat Menangani Kebencian Digital (CCDH), terhadap lebih 530 paparan yang dilihat sebanyak 25 juta kali, yang mengandungi kandungan tidak berperikemanusiaan mengenai umat Islam dan Islam.

Advertisement

Ketua Eksekutif CCFH, Imran Ahmed, berkata kebanyakan kandungan kebencian yang ditemui secara terang-terangan dan mudah ditemui, dengan tanda pagar Islamofobia disebarkan secara terbuka membabitkan ratusan ribu pengguna yang menganggotai kumpulan yang menyebarkan kebencian anti-Muslim.

Mesej tidak terhad kepada pendapat yang menyinggung perasaan, malah karikatur, dakwaan palsu dan teori konspirasi. Beberapa catatan Instagram menggambarkan orang Islam sebagai babi dan meminta mereka diusir dari Eropah.

Dalam paparan lain media sosial menyamakan Islam dengan barah yang harus dirawat menggunakan radiasi dan disertai dengan imej letupan atom. Mesej di Twitter pula mencadangkan bahawa penghijrahan Muslim adalah sebahagian rancangan untuk mengubah politik negara lain. Kebanyakan siaran disertakan dengan tanda pagar yang menyinggung perasaan seperti #kematianterhadapislam dan #islamkanser.

CCDH menyatakan bahawa kebanyakan paparan kebencian dan kandungan Islamofobia yang dipantau untuk kajian itu dilaporkan oleh pengguna. Bagaimanapun, hanya sedikit paparan Islamofobia dikeluarkan.

Facebook sebagai contoh, mengambil tindakan ke atas hanya tujuh daripada 125 paparan yang dilaporkan; Instagram 32 daripada 227 paparan; TikTok 18 daripada 50 paparan; Twitter tiga daripada 105 paparan dan YouTube gagal melakukan apa-apa mengenai 23 video yang diadukan.

Penyelidik juga mendapati Facebook digunakan oleh kumpulan Islamofobia dengan nama seperti “Islam bermakna Keganasan,” “Hentikan Islamisasi Amerika” dan “Boikot Pensijilan Halal di Australia.” Kebanyakan kumpulan yang mempunyai ribuan ahli berpangkalan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Sebagai contoh, kumpulan “Berjuang Menentang Liberalisme, Sosialisme dan Islam,” mempunyai hampir 5,000 ahli. Kumpulan ini dikendalikan oleh peguam Afrika Selatan, Mark Taitz, yang mendakwa bahawa Islam sederhana tidak wujud dan terlalu ramai orang gagal memahami perkara ini. Taitz juga menggalakkan pengguna Facebook menyertai kumpulan itu untuk belajar mengenai Islam dan kekejaman yang dilakukannya atas nama Tuhan.

Sebagai maklum balas kepada kajian ini, Twitter menyatakan tidak bertolak ansur terhadap penderaan atau gangguan atas dasar agama dan penggunaan sistem automatik melabelkan kandungan yang melanggar dasar platform media sosial itu. Twitter juga mengaku bahawa masih ada kerja yang perlu dilakukan.

Ini bukan kali pertama platform media sosial dikritik kerana kegagalan bertindak terhadap ucapan kebencian dan kandungan yang menyinggung perasaan.

Pada Disember lalu, sebuah badan pemikir yang menjejaki ekstremisme dalam talian, Institut Dialog Strategik, mendapati Facebook gagal membuang kandungan pelampau. – ARAB NEWS



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close