Politics

Mempraktik disiplin ibadah haji dalam kehidupan bermasyarakat

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

اَلْحَجُّ اَشْهُرٌ مَّعْلُوْمٰتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيْهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوْقَ وَلَا جِدَالَ فِى الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوْا مِنْ خَيْرٍ يَّعْلَمْهُ اللّٰهُ ۗ وَتَزَوَّدُوْا فَاِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوٰىۖ وَاتَّقُوْنِ يٰٓاُولِى الْاَلْبَابِ.

“(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang telah dimaklumi. Barangsiapa mengerjakan (ibadah) haji dalam (bulan-bulan) itu, maka janganlah dia berbuat sesuatu yang boleh membangkitkan nafsu syahwat (rafats), berbuat maksiat (fasik) dan bertengkar dalam (melakukan ibadah) haji. Segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah Maha Mengetahuinya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal yang sejahtera”.

(Al-Baqarah: 197)

Ayat di atas menjelaskan kepada kita beberapa disiplin dalam menunaikan ibadah haji. Disiplin diri dalam mengawal nafsu, tidak melanggar had dan batasan syariat serta menjaga hubungan di dalam masyarakat dengan mengelakkan pertengkaran dan perbalahan.

Peraturan dan disiplin dalam ibadah haji ini adalah untuk menjaga hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.

Para jemaah haji perlu menyedari bahawa disiplin yang diterapkan semasa melaksanakan ibadah haji, bukan hanya untuk diamalkan sepanjang tempoh menunaikan haji sahaja, namun ianya adalah disiplin yang perlu ditanam dan dipupuk untuk dibawa balik dan diamalkan dalam kehidupan di tempat masing-masing. 

Tarbiyah ini jika dapat direalisasikan dalam kehidupan, pastinya akan dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera yang mana ianya akan menjadi asas kepada pembinaan ummah yang bersatu padu dan punya kekuatan. Jelas kepada kita falsafah haji adalah membina persefahaman dan penyatuan ummah sejagat sebagai asas kekuatan.

Justeru PAS Johor menyeru seluruh umat Islam agar dapat mengambil istifadah dan panduan daripada tarbiyah dan disiplin yang diterapkan sepanjang tempoh menunaikan ibadah haji agar terbinanya sebuah masyarakat yang sentiasa menjaga kerukunan dan persaudaraan tanpa mengira pangkat kedudukan, harta kekayaan, agama, keturunan dan warna kulit.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 12/7/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.