Politics

Mengirim kehangatan pada salju menggigit tulang, Syria yang dilupakan!

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

TIMBUNAN salju terhampar putih menutupi ruang bumi bukan lagi keseronokan bagi insan di peta luka umat Islam. Salju putih menjadi kanvas menikam tulang hitam bahkan menghantar ceritera kematian demi kematian di Afghanistan, Syria, Iraq serta pelbagai lokasi tompokan duka umat Islam.

Aku pernah terperangkap dalam kedinginan melampau musim sejuk di banjaran gunung di Balakot Pakistan, 17 tahun lampau. Pengalaman menggigil dalam khemah ditimpa salju nipis dalam suhu minus memberikan aku satu bab pelajaran baru kampus kehidupan bahawa kesejukan melampau boleh membunuh!

Advertisement

Musim dingin tahun ini agak luar biasa sekali, perbukitan Tabuk di Arab Saudi diselaputi salju tebal, begitu juga kota Kabul Afghanistan yang bertukar wajah seolah kutub utara yang menciut dingin.

Ditengah kedinginan inilah misi Muslim Care Malaysia bergerak ke bumi Syria, terus ke lokasi paling getir yang menyaksikan sekolah Muslim Care Malaysia (MCM) untuk anak-anak pelarian hancur dibom.

Kempen bantuan musim sejuk musim ini telah digalang sejak dua bulan lepas, Muslim Care Malaysia membantu pelarian Syria sejak sedekad yang lalu, pasca Arab Apring yang mengubah landskap politik banyak negara di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Pelbagai program skala besar dan skala kecil, berfokus atau bersifat hiliran telah digerakkan dengan berkolaborasi dengan beberapa pihak termasuk IHH yang berpusat di Istanbul.

Antara misi MCM membantu pelarian Syria sejak sedekad yang lalu ialah misi di Antakiah, seterusnya membina pertapakan bantuan yang lebih tersusun di Rayhalli dengan mewujudkan sekolah-sekolah anak pelarian.

Sekolah pelarian MCM mendapat pengiktirafan UNICERF dan juga kerajaan Turki, malah telah melahirkan lebih 25,000 orang alumni. Ada kalangan alumni ini telah melanjutkan pendidikan ke jenjang ijazah pertama di kampus Turki.

Tak sedikit pengorbanan yang dilakukan untuk menguruskan enam buah sekolah pelarian ini pada awalnya. Jutaan ringgit dilaburkan demi masa depan generasi muda Syria yang dihempap duka yang tidak pasti bilakah akan berakhir.

Pihak pengurusan dan pimpinan MCM memerah akal dan keringat bagi memastikan setiap bulan “nafkah wajib” dikirim bagi kesinambungan pendidikan. Tak sedikit yang cuba memalit fitnah dan menimbulkan keraguan tentang misi membantu umat Islam Syria, namun segalanya terjawab dengan gerak kerja cemerlang MCM dibidang bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Misi membantu pelarian Syria bukan sahaja dilakukan di sempadan Turki, Jordan namun termasuk pelarian yang melarikan diri ke negara Eropah seperti di Austria, Jerman dan Republik Chech.

Kejerihan pelarian pada peringkat awal tak tergambar dengan kewarasan akal manusia, ada yang memakan kucing dan tikus bila menjelang musim dingin. Aku teringatkan pengalaman melihat pelarian berebut kotak terpakai di sebuan khemah pelarian sempadan Jordan Syria, rupanya kotak terpakai boleh direbus untuk menghilang rasa lapar yang amat.

Masalah pelarian yang mengungsi di Eropah pula yang paling dibimbangi ialah kerapuhan akidah apabila mereka bertarung di antara survival kehidupan dengan tarikan pesona daripada misionari Kristian.

Jerman menjadi negara yang paling disenangi oleh pelarian Syria kerana membuka ruang pekerjaan kepada mereka walaupun bergaji rendah. Ditambah lagi dengan NGO besar, HASANET yang diasaskan oleh bangsa Turkish di Jerman.

Kepada teman-teman yang ingin memberi sumbangan dalam misi ini, boleh berikan sumbangan anda kepada Syria Maybank Muslim Care Malaysia 5644 9041 3882 dan WhatsApp + 011-5005 0035. – HARAKAHDAILY 1/2/2022

Penulis merupakan aktivis Muslim Care Malaysia, kebajikan tanpa sempadan.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close