Politics

Menteri Besar Pahang tinggal WTCKL, tinjau banjir kilat di Bentong

BENTONG: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bergegas ke daerah ini hari ini bagi meninjau situasi banjir kilat yang berlaku di situ. 

Wan Rosdy ketika kejadian itu berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2022. 

Beliau mengambil tanggungjawab turun padang untuk melihat sendiri kawasan yang terjejas banjir di daerah itu khususnya membabitkan Kampung Chegar Medang, Benus dan beberapa kawasan lagi.

Menurutnya, beliau terpaksa meninggalkan sebentar perhimpunan itu untuk bertemu sendiri sekali gus melawat mangsa-mangsa banjir yang terlibat. 

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tambahan pula, ini adalah kali kedua banjir melanda rumah mereka dalam tempoh tiga bulan. Saya amat berharap mereka bersabar dan tabah menghadapi ujian ini. 

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Ini termasuklah perancangan jangka panjang untuk mengatasi bencana banjir di kawasan-kawasan berisiko,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya di sini hari ini. 

Hujan lebat sejak pukul 5 petang semalam menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di sekitar bandar Bentong dan beberapa buah kampung berhampiran Sungai Penjuring di sini.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Perting, Kampung Kemansur, Kampung Repas, Kampung Chamang, Kampung Sungai Penjuring, Karak Setia dan Kampung Chegar Medang.

Air dari Sungai Penjuring mula melimpah ke kawasan bandar Bentong kira-kira pukul 10 malam sebelum ia mula surut kira-kira pukul 11.30 malam tadi. –UTUSAN ONLINE

 

 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.