Politics

Olahraga IPT: Jonatan, Zaidatul ungguli 100 meter

JOHOR BAHRU: Pelari pecut lelaki dan wanita negara, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli dinobatkan raja dan ratu pecut Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit 1 setelah mengungguli acara 100 meter semalam.

Jonathan menghadiahkan emas buat Universiti Putra Malaysia (UPM) setelah merekodkan larian 10.51 saat (s) dalam acara riben biru itu.

Menurut Jonathan, keputusan itu adalah lebih baik berbanding catatan masa 10.64s yang direkodkan pada Kejohanan Olahraga Perak All-Comers, Februari lalu.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan tersebut adalah medan untuk memperbaiki catatan peribadinya dalam acara pecut itu.

“Saya berpuas hati dengan catatan masa itu kerana tidak menyangka mampu mencatat masa 10.51s. Harap ia menjadi pembakar semangat meneruskan usaha mempersiapkan diri untuk Sukan SEA Hanoi, tahun ini,” katanya kepada pemberita di Stadium Olahraga Mount Austin, di sini semalam.

Dalam acara itu, Jonathan mengatasi rakannya, Muhammad Zulfiqar Ismail (UPM) yang meraih perak dengan 10.64s manakala wakil Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mohamad Raimi Mustaffa mengutip gangsa dengan catatan 10.89s.

Sementara itu, Zaidatul Husniah yang turut mewakili UPM merangkul emas dengan merekodkan catatan masa 11.89s bagi acara pecut itu.

Ratu pecut negara itu akui catatan masa tersebut adalah jauh daripada catatan masa terbaik peribadinya iaitu 11.59s yang direkodkan ketika di Weinheim, Jerman pada 2018.

Bagaimanapun, beliau mengambil positif rekod masa itu selepas pulih daripada pembedahan lutut ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) yang dijalaninya pada 2020.

“Selepas menjalani pembedahan, saya mengambil masa yang panjang untuk pulih dan penyertaan ini bagi mengembalikan semangat saya untuk kembali mendapat rentak seperti dahulu.

“Sasaran saya mahu perbaiki catatan masa dengan menyertai seberapa banyak kejohanan. Kejohanan Olahraga ini adalah permulaan yang baik untuk saya menyertai kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Zaidatul Husniah berkongsi podium dengan dua lagi wakil UPM iaitu Azreen Nabila Alias, yang meraih perak (11.90s) dan Nor Sarah Adi memperoleh gangsa (12.10s). – UTUSAN ONLINE




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.