Politics

PAS Perak santuni mangsa ribut, puting beliung

IPOH: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang juga Exco Kerajaan Negeri telah turun padang menyantuni mangsa ribut dan puting beliung di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, di sini pagi semalam.

Advertisement

Beliau menyaksikan sendiri kesan bencana yang menggemparkan itu dengan mendapati sebahagian besar rumah penduduk mengalami kerosakan serius berikutan dipukul angin ribut dan puting beliung.

“Pak Teh segera ke sini setelah dimaklumkan tentang musibah ini. Banyak luahan daripada penduduk yang Pak Teh dengar. Masing-masing berkongsi detik cemas menghadapi insiden berkenaan termasuklah harta benda yang musnah,” ujarnya yang mesra membahasa diri sebagai ‘Pak Teh’

Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Perak telah melakukan gerak kerja bantuan awal melibatkan operasi pembersihan khususnya terhalang lalu lintas pada kejadian yang turut melanda Taman Desa Seri Chepor dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya itu.

Pengerusi Perladangan, Petanian dan Industri Makanan Negeri itu juga amat berharap semua mangsa tabah di samping menunggu kerja-kerja baik pulih dan bantuan bencana yang akan disalurkan.

“Bantuan daripada kerajaan negeri akan disalurkan dalam masa terdekat. Insya-Allah Pak Teh doakan semoga semua mangsa tabah dan Allah gantikan dengan rezeki yang jauh lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah memaklumkan mangsa kejadian ribut dan puting beliung yang mengalami kerosakan rumah akibat bencana berkenaan akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,300.

Kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 6.00 petang itu telah mengakibatkan ratusan rumah penduduk rosak terutama pada struktur bumbung, selain pokok tumbang dan terputus bekalan elektrik.

Pimpinan PAS Kawasan Tambun iaitu Timbalan Yang Dipertua, Mohd Aidil Abdul Aziz bersama Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Syed Mohd Noor Hisam serta Ketua Muslimat, Yusmaliza Yusof antara terawal ke lokasi kejadian.

Mangsa ribut, Rahayu Md Nayan yang juga Setiausaha Muslimat PAS Tambun bercerita, beliau sekeluarga bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masing-masing masih trauma dengan kejadian berkenaan.

“Kejadian berlaku pada sekitar jam 6:20 petang. Ribut sangat kuat hingga banyak bumbung rumah jiran dan penduduk di sini yang diterbangkan angin. Ini pertama kali kejadian ribut berlaku di sini.

“Kami sekeluarga hanya mampu melaungkan Allahuakbar! dan mendoakan (semoga) ribut cepat berakhir. Alhamdulillah setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya menerima sumbangan disampaikan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Tambun, Khamisah Abd Hamid.

Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad pula percaya musibah tersebut tentunya memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa termasuk aspek psikologi khususnya bagi kaum Tionghua yang menyambut Tahun Baharu Cina.

Walau bagaimanapun, pihaknya bersyukur kerana tiada sebarang laporan kemalangan jiwa yang direkodkan dan proses baik pulih rumah mangsa ribut berkenaan sedang mula giat dijalankan oleh pihak berwajib.

“Baru-baru ini, negara kita telah dikejutkan dengan musibah banjir yang besar di beberapa negeri. (Kini), kejadian ribut dan puting beliung yang berlaku di Perak ini (pula) telah menjadi perhatian rakyat Malaysia.

“Bukan itu sahaja, umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia kini masih lagi dalam proses pemulihan daripada kesan psikososial pasca pandemik. (Justeru), dalam situasi mencabar ini, semua pihak perlu gembleng tenaga dalam membantu mangsa terbabit,” seru beliau. 

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu menghulurkan sumbangan kepada mangsa ribut melalui tabung yang dilancarkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Perak.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Dewan Muslimat PAS Perak 08086010026382 atau hubungi Rohawati di talian 019-5590699 sekiranya terdapat sebarang pertanyaan. – HARAKAHDAILY 1/2/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close