Politics

Pasca Pilihan Raya: Cabaran Islam di Perancis

DI SEBALIK menepuk dada lega atas kekalahan Marine Le Pen, namun jauh di sudut hati tetap ada kerisauan. Mengenang masih ada kawan-kawan orang Malaysia dan kenalan-kenalan Muslim sebagai saudara dalam tautan iman di Perancis. 

Advertisement

Dalam konteks politik Perancis bagi yang memahami, kita tak terfikir soal meraikan siapa yang lebih baik menjadi Presiden. Namun apa yang ada pada  pemikiran orang pernah yang menetap di Perancis ialah mana satu calon Presiden yang lebih jahat itu mesti kalah. 

Politik Perancis seperti juga di tempat-tempat lain. Kita sukar untuk mengecapi sesuatu pilihan yang ideal seperti kita mahu. Tapi cukuplah untuk kita berjaya dulu mengelak daripada negara diterajui oleh yang lebih jelik pada penilaian kita. 

Sejak 2 dekad tiada yang berjaya  menjadi Presiden untuk penggal kedua, pada 25 April 2022 lepas Emmanuel Macron yang berjaya terpilih semula. Kejayaan semula sebagai presiden Perancis bukanlah kerana kepercayaan majoriti rakyat atas kebaikan dasar-dasarnya pada penggal pertama pemerintah yang bermula pada 2017 . 

Bahkan kemerosotan populariti Macron dengan peningkatan undi Marine Le Pen pada pilihanraya kali ini adalah petunjuk atas kegagalan sepanjang penggal pertama Macron. Peningkatan undi Marine daripada parti Front Nationale memberi petunjuk bahawa parti pelampau kanan semakin popular dan semakin diberi kepercayaan. 

Antara isu yang menjadi kemarahan rakyat pada Macron sebelum ini adalah Green Tax ke atas bahan api diesel. Cukai Green Tax banyak memberi kesan kepada rakyat kelas bawah dan luar bandar ini mencetus protes ganas seluruh negara atas nama gerakan Yellow Vest.

Selain itu sepanjang tempoh penggal pertama presiden, walaupun kadar pengangguran dapat dikurangkan sejak 2017 dan kuasa beli rakyat semakin meningkat tetapi bantuan perumahan kepada rakyat susah berpendapatan rendah juga dipotong dan cukai korporat pula diringankan. Dasar Macron memang kelihatan mesra beberapa kerat yang kaya. Ini adalah beban besar yang menghantui rakyat Perancis bersama Macron sebagai Presiden. 

Persaingan pemilihan presiden kali jelas menampakkan polarisasi rakyat yang semakin popular. Buat pertama kali wakil berideologi melampau kanan seperti Marine Le Pen menguasai 43 peratus undi pusingan kedua.

 Apa yang menjadi kerisauan atas Marine Le Pen ini apabila idea-idea politik melampau kanan beliau yang jelas Islamophobia, anti imigran dan tanpa selindung mengumumkan untuk mengharamkan hijab secara total.

Marine Le Pen menunggang atas keresahan rakyat dan terus mencipta perasaan tak selamat dan terjejas di kalangan rakyat Perancis terus mencetus gelombang perkauman kelompok pelampau kanan. Apakah kerisauan saya sebagai bekas minoriti Muslim yang pernah tinggal di Perancis? 

Sebenarnya peningkatan pengaruh Marine Le Pen dengan idea Islamophobia dan anti imigran adalah satu cabaran kritikal buat Muslim yang menjadi minoriti di Perancis dan pemikiran kebebasan menghina atas nama kebebasan bersuara (Freedom of Speech).

Pasca tragedi pembunuhan Cikgu Samuel Paty yang menggunakan karya karikatur menghina Nabi S.A.W oleh  Charlie Hebdo dalam sesi kelas pembelajaran akhirnya dipenggal kepala oleh seorang anak muda berketurunan migran Chechen pada 16 Oktober 2020 lalu,  menampakkan Presiden Macron terus mengikut arus tiupan melampau kanan. (Rujuk ulasan tahun 2020 Tragedi Cikgu Paty: https://www.facebook.com/zikrullah.ismail.3/posts/1215786775470542 )

Walaupun Macron mengakui bahawa partinya centrist iaitu pertengahan atau Wasatiyah, tapi atas sikap populis dan oportunisnya sebagai aktor politik maka peningkatan pengaruh pemikiran melampau kanan ini amat membimbangkan. 

Pengaruh pemikiran melampau kanan ini boleh menguatkan tekanan terhadap sesiapa sahaja ahli politik berkuasa di Perancis bersifat pragmatik demi mengekalkan kuasa. Sememangnya walaupun Marine Le Pen belum menang, tetapi pengaruh pemikiran melampau kanan yang memperlihatkan corak peningkatan ini bagaikan pemangkin untuk kemenangan beliau sebagai Presiden kelak. 

Dalam satu ucapan akhir beliau tatkala mengetahui bahawa unjuran menampakkan beliau akan gagal terpilih sebagai Presiden, beliau berkata;

“Dalam kekalahan ini , saya boleh merasai harapan (untuk menang).”

Beliau menyatakan bahawa 43 peratus sokongan undi adalah kemenangan bergaya. Beliau tidak akan mengabaikan Perancis dan rakyat Perancis dan akan menerajui kempen pilihan raya Parlimen yang akan berlangsung pada Jun nanti bagi terus mengasak.

Maksud ‘Harapan’ yang beliau ungkapkan ialah mengintai peluang merebut posisi Perdana Menteri untuk partinya Front Nationale secara ‘cohabitation‘ kelak sebagai ruang timbang tara kuat bagi cubaan menjadi king makerterhadap Presiden dan seterusnya menguatkan peluang menang sebagai Presiden dalam pilihan raya Presiden akan datang. Dalam politik apa-apa sahaja boleh jadi. Namun, bersediakah kita jika kemenangan milik Marine Le Pen!

ZIKRULLAH ISMAIL
Bekas anak rantau Perancis
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 28/4/2022

P/S: Mungkin tulisan susulan perlu dibuat bagi menjelaskan mengenai sistem politik Perancis, pilihan raya dan apakah itu cohabitation.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close