Politics

Penahanan tiga suspek kes bunuh, bongkar pula kes dera

SEREMBAN: Satu demi satu kes dibongkar polis melibatkan tiga suspek bersaudara yang ditahan reman berhubung kes penemuan mayat wanita dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini.

Kali ini ia melibatkan kes penderaan melibatkan mangsa seorang wanita berusia 35 tahun dan seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kes tersebut polis menyiasat secara menyeluruh dan menimbulkan satu kes penderaan dipercayai melibatkan suspek sama yang dilakukan terhadap seorang wanita dan kanak-kanak.

“Mangsa (penderaan) ialah seorang perempuan berusia 35 tahun dan seorang kanak-kanak berusia satu tahun lapan bulan. Kedua-dua mangsa kini masih menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nanda, kesemua kes dalam proses pengumpulan bukti untuk melengkapkan siasatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan lanjut polis terhadap kesemua suspek yang terlibat membawa kepada penemuan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud di sini, pada 7 April lalu.

Dalam pada itu, Nanda berkata, tempoh reman tiga suspek bersaudara yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut yang berakhir semalam dilanjutkan.

“Tempoh reman suspek utama lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun disambung sehingga 16 April ini manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun direman sehingga esok,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, media turut melaporkan seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah.

Kesemua suspek dibawa ke mahkamah pada 23 Mac lalu untuk permohonan reman bagi membantu siasatan dan tempoh reman mereka telah dilanjutkan. – UTUSAN

 

 




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close