Politics

Penulis novel cinta,The Wrong Husband didakwa bunuh suami

Nancy Crampton-Brophy kelihatan sugul ketika pada hari pertama perbicaraan di mahkamah di Oregon, Portland, Amerika Syarikat pada 4 April 2022 (FOTO CNN)

Susunan YUSMAN AWANG

PORTLAND, Oregon: Seorang penulis novel cinta, Nancy Crampton-Brophy yang pernah muncul dengan novel berjudul, The Wrong Husband kini sedang dibicarakan di mahkamah di sini atas tuduhan membunuh suaminya.

Wanita berusia 71 tahun yang pernah menerbitkan catatan blog tersohor berjudul, How To Murder Your Husband pada tahun 2011 itu didakwa dengan satu pertuduhan membunuh dan telah mengaku tidak bersalah.

Advertisement

Perbicaraan dijangka berlangsung selama enam minggu itu susulan kematian suami Crampton-Brophy, iaitu Chef Daniel Brophy yang merupakan seorang pengajar di sekolah masakan, Institut Kulinari Oregon akibat ditembak oleh individu misteri kira-kira pada 7.30 pagi 2 Jun 2018.

Pada hari Daniel Brophy dibunuh, pelajar-pelajarnya tiba ke kelas dan mendapati lelaki itu dalam keadaan berdarah di lantai dapur.

Keesokan harinya, Crampton-Brophy telah menyiarkan mesej di Facebook tentang pembunuhan suaminya yang telah dikahwini sejak dua dekad lalu itu.

Salah satu novel nukilan Nancy Crampton-Brophy berjudul, The Wrong Lover.

“Suami dan kawan baik saya, Chef Dan Brophy telah dibunuh pagi semalam. Bagi anda yang rapat dengan saya dan merasakan patut menelefon saya, anda betul, tetapi saya kini sedang bergelut untuk memahami tentang apa yang sebenarnya telah berlaku,” tulisnya dalam Facebook berkenaan.

Pembunuhan itu kekal menjadi misteri dari pengetahuan umum selama berbulan-bulan. Namun kira-kira tiga bulan kemudian, pada 5 September 2018, polis Portland menahan Crampton-Brophy dan mendakwanya dengan tuduhan membunuh suaminya itu susulan kejadian itu  disyaki ada kaitan dengan plot-twist yang diambil dari novelnya.

Selain The Wrong Husband, antara novel-novel lain nukilannya termasuklah yang berjudul, The Wrong Lover, The Wrong Cop, The Wrong Hero, The Wrong Seal, dan Hell on the Heart.

Dalam dokumen mahkamah, pendakwa raya berkata lelaki berusia 63 tahun itu telah ditembak sebanyak dua kali – sekali di belakang ketika dia berdiri di sinki untuk mengisi baldi ais dan air untuk pelajar-pelajarnya, dan kemudian kali kedua di dada dalam jarak dekat.

Pendakwa raya, Shawn Overstreet ketika menyampaikan kenyataan pembukaannya pada perbicaraan kes dakwaan ke atas Nancy Crampton- Brophy pada Isnin, 4 April 2022, yang dituduh membunuh suaminya. Dan Brophy pada 2 Jun 2018. (FOTO The Oregonian)

Peluru itu menembusi tulang belakangnya dan menusuk ke jantungnya. Dompet Brophy dengan wang tunai dan kad kredit ditemui bersamanya, dan tiada tanda-tanda rompakan.

Sebenarnya, selama hampir dua dekad wanita itu dan suaminya tinggal di pinggir bandar yang tenang di Portland, Oregon kelihatan seperti pasangan suami isteri yang sangat bahagia.

Crampton-Brophy pernah menulis tentang suaminya yang mempunyai hobi menternak ayam belanda dan ayam di halaman rumah mereka, menjaga kebun sayur dan suka menyediakan hidangan makanan mewah dan lazat untuknya.

Namun begitu, pihak pendakwa raya dalam hujahnya dalam dokumen mahkamah mendakwa bahawa Cramton-Brophy menghadapi masalah kewangan dan telah menghabiskan akaun persaraan mereka dua tahun sebelum pembunuhan suaminya itu.

Lokasi Chef Daniel Brophy mati ditembak individu misteri pada pagi 2 Jun 2018.

“Wanita itu yang jualan bukunya tidak menguntungkan dari segi kewangan  merancang untuk membunuh suaminya untuk mengutip lebih AS$1.5 juta (RM6.3 juta) daripada pelbagai polisi insurans hayat dan aset lain.

“Daniel Brophy berpuas hati dengan gaya hidupnya yang ringkas, tetapi Nancy Brophy mahukan sesuatu yang lebih.

“Memandangkan Nancy Brophy semakin terdesak dari segi kewangan dan kerjaya penulisannya merudum, dia ditinggalkan dengan beberapa pilihan ….

“Daniel  Brophy bernilai hampir AS$1.5 juta kepada Nancy Brophy jika dia mati dan dia berbaloi dengan kesusahan kewangan jika dia terus hidup. Nancy Brophy merancang dan melaksanakan apa yang dia percaya sebagai pembunuhan yang sempurna.

“Pembunuhan yang dia percaya akan membebaskan dia daripada cengkaman kekeringan kewangan,” kata pendakwa dalam dokumen mahkamah. 

Catatan Nancy Crampton-Brophy berjudul, How To Murder Your Husband yang diterbitkan dalam dalam blog, See Jane Publish pada 2011 (FOTO medium.com)

Pendakwa raya berkata, pemeriksaan terhadap komputer pasangan itu mendedahkan mereka mempunyai akaun iTunes bersama dengan artikel yang ditanda buku berjudul, 10 Ways to Cover Up a Murder.

Namun, peguam Crampton-Brophy berhujah pada perbicaraan minggu ini bahawa wanita itu sangat menyayangi suaminya itu dan langsung tidak ada kaitan dengan pembunuhan itu.

Berita tentang pembunuhan itu mengejutkan masyarakat Portland dan menjadi tajuk utama di mana-mana –  sebahagiannya disebabkan oleh sesuatu yang ditulis Crampton-Brophy tujuh tahun sebelum kematian suaminya.

Pada tahun 2011, melalui  catatan blognya, How to Murder Your Husband, dia menulis sebanyak 700 perkataan yang dimulai dengan: “Sebagai penulis novel romantis-suspens, saya menghabiskan banyak masa memikirkan tentang pembunuhan dan akibatnya, serta mengenai prosedur polis.

Chef Daniel Brophy meninggal dunia akibat ditembak peluru yang menembusi tulang belakangnya dan kemudian menusuk ke jantungnya. (FOTO CNN)

Catatannya itu kemudian diterbitkan dalam blog, See Jane Publish, yang  dibahagikan kepada bahagian yang memperincikan tentang kebaikan dan keburukanmembunuh suami yang jahat.

“Jika pembunuhan itu sepatutnya membebaskan saya, saya pastinya tidak mahu menghabiskan masa di penjara.

“Dan biar saya katakan dengan jelas untuk rekod, saya tidak suka baju penjara (berwarna oren) dan oren bukan warna kegemaran saya.

“Saya mendapati lebih mudah untuk mengharapkan orang mati daripada benar-benar membunuh mereka.

“Tetapi perkara yang saya tahu tentang pembunuhan ialah setiap seorang daripada kita ada dalam dirinya (keinginan membunuh) apabila terpaksa (melakukannya),” tulisnya dalam catatan tersebut. – HARAKAHDAILY 8/4/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close