Politics

Piza ‘lepasan SPM’ ubah nasib keluarga

LIPIS: Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Noraida Zulkifli, 19, membuktikan dia mampu berjaya sekali gus mengubah nasib keluarga menerusi perniagaan piza di rumahnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noraida yang memperoleh sijil SPM 2020 pada awalnya cuba melamar peluang pekerjaan di sektor kerajaan kerana mahu bekerja awal memandangkan perlu membantu keluarganya.

“Bukan tidak mahu menyambung pelajaran ke tingkatan enam dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada peringkat diploma, tetapi ingin memenuhi hasrat keluarga saya terlebih dahulu dengan melupakan buat sementara cita-cita melanjutkan pelajaran.

“Oleh itu, saya mencari kerja setaraf sijil SPM kalau-kalau ada rezeki, tetapi semuanya hampa apabila tidak ada satu pun permohonan dipanggil temu duga, berkemungkinan ramai calon dan juga ada persaingan,” katanya di Kampung Tanjung Buluh dekat sini semalam.

Menurut Noraida, dia tidak berputus asa dan keluarga selalu memberikan semangat di sebalik kesukaran mendapatkan pekerjaan di sektor itu lalu mencadangkannya menjual piza.

Katanya, cadangan keluarganya berasaskan kawasan itu belum lagi ada orang yang menjual piza dan penduduk cuma berbelanja makanan Barat di bandar Kuala Lipis dan Jerantut.

“Berbekalkan kemahiran membuat piza yang diperoleh daripada rakan semasa di sekolah dan belajar menerusi internet, saya mampu membuat piza dengan cepat dan mudah,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit itu berkata, memandangkan modal yang kecil, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, dia mula membuat dan memasarkan piza di sekitar Tanjung Buluh, Kerambit dan kampung berdekatan.

“Kerana modal yang kecil, saya hanya memiliki sebuah ketuhar pemanas yang bersaiz kecil, hanya mampu membuat makanan ini hanya 20 keping sehari.

“Seperti tahun lalu, pada bulan Ramadan, piza mendapat permintaan yang tinggi dan saya perlu menyediakan makanan ini antara 40 hingga 50 keping berasaskan tempahan,” katanya.

Selanjutnya Noraida berkata, dia cuma membuat piza carbonara dan piza pepperoni campuran daging dan ayam bagi kedua jenis berkenaan dan dijual antara RM18 hingga RM23 sekeping berasaskan saiz dan campuran bahan.

“Piza ini ditempah oleh pelanggan di sekitar Kampung Tanjung Buluh, Kerambit dan kawasan berdekatan dan kebiasaannya pada bulan Ramadan makanan ini sangat laris,” katanya.

Noraida menambah, minatnya membuat piza akan diteruskan pada masa akan datang dan sehingga kini dia sudah nampak ada jalan untuk membesarkan perniagaan itu di samping cuba mendalami pembuatan makanan di institusi kemahiran tidak lama lagi.

“Saya ingin menasihatkan kepada rakan lepasan SPM supaya menceburi bidang perniagaan kecil terlebih dahulu dan pada masa yang sama mendalami kemahiran tertentu yang boleh membantu melebarkan sesuatu perniagaan.

“Kita tidak perlu menunggu peluang pekerjaan di sektor kerajaan semata-mata sebaliknya berusaha dahulu dengan mana-mana peluang sama ada perniagaan atau pertanian yang menjanjikan ‘rezeki’ halal untuk membantu keluarga,” jelasnya. – UTUSAN




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.