Politics

Polis Thailand gagalkan penyeludupan warga Myanmar ke Malaysia

SONGKHLA: Hasrat 21 warga Myanmar untuk bekerja di Malaysia tidak kesampaian apabila mereka yang dalam perjalanan ke sempadan Thailand-Malaysia, ditahan Polis Imigresen di daerah Rattaphum, wilayah selatan Thailand, semalam.

Komander Polis Imigresen Bahagian 6, Mej Jeneral Prapansak Prasansuk, berkata, pihaknya yang mendapat maklumat kehadiran pendatang tanpa izin terbabit, memintas sebuah pikap di persimpangan Khuha di Lebuh Raya Asia di Kamphaeng Phet, daerah Rattaphum.

Advertisement

Katanya, polis menemui 21 warga Myanmar, iaitu 18 lelaki dan tiga wanita, bersesak di bahagian belakang pikap yang ditutup dengan kain kanvas hitam.

Pemandu kenderaan warga Thailand berusia 23 tahun dari daerah Si Sawat di Kanchanaburi, turut ditahan.

Hasil tangkapan ini membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Thailand lain berusia 23 tahun dari daerah Lao Khwan, Kanchanaburi, ketika dia berada di sebuah pusat peranginan. Lelaki ini ditahan kerana dipercayai menjadi pemandu pikap di hadapan untuk mengawasi kehadiran pihak berkuasa.

Kedua-dua lelaki terbabit memberitahu polis bahawa mereka diupah oleh seorang lelaki dengan bayaran 10,000 Baht (RM1,262) untuk mengangkut pendatang Myanmar dari Prachuap Khiri Khan ke sempadan Malaysia.

Pendatang terbabit memberitahu bahawa mereka berasal dari Yangon, Myawaddy dan Mawlamyine di Myanmar. Mereka menyelinap menyeberangi sempadan ke Thailand di wilayah Prachuap Khiri Khan dan bersembunyi dalam hutan sebelum dibawa menaiki pikap ke Songkhla. Dari sini, mereka akan meneruskan perjalanan menyeberangi sempadan ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.

Mereka mendakwa masing-masing membayar 40,000 Baht (RM5,050) dengan separuh daripada jumlah itu dibayar terlebih dahulu dan separuh lagi selepas tiba di tempat kerja di Malaysia.

Pendatang itu akan dihantar pulang selepas melalui prosiding undang-undang kerana memasuki Thailand secara haram, manakala polis masih meneruskan siasatan untuk mencari dalang di sebalik penyeludupan pendatang tanpa izin. – BANGKOK POST



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close