Politics

Rizab margin air Kelantan 0 peratus?

SELANGOR sebagai negeri maju mempunyai rizab margin air terawat sifar (0) peratus pada tahun 2016. Sehingga suku kedua tahun 2020, peningkatan rizab margin air Selangor hanyalah kepada 1.5 peratus. 

Ramai pakar-pakar berkaitan pengurusan air tinggal di dalam cakupan bekalan air Selangor. Pejabat utama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pun terletak di dalam cakupan air Selangor.

Advertisement

Tapi mengapa negeri maju seperti Selangor dengan hasil pendapatan negeri yang banyak serta ramai-ramai pakar pengurusan air di Lembah Kelang pengguna air Selangor tak dapat menyelesaikan masalah air di Selangor?

Dengan data rasmi yang diumumkan 1.5 peratus rizab margin air terawat, apakah seluruh orang Selangor tak dapat berhari raya kerana berisiko mempunyai gangguan air nanti? 

SPAN telah menetapkan KPI Malaysia untuk rizab margin adalah antara 10 hingga 15 peratus. 

Adakah Selangor negeri maju, tetapi rizab margin juga teruk dan setara dengan negeri yang dikatakan mundur? Apakah mungkin wajar Editor Sinar Harian membuat liputan mengenai 1.5 peratus rizab air Selangor ini? Jangan hanya beri liputan atau siaran yang mengundang persepsi negatif terhadap Kelantan.

Sepatutnya angka 1.5 peratus rizab margin ini akan meresahkan editor jika benar-benar ingin memberi maklumat kepada rakyat terhadap masalah cakupan bekalan air di Selangor pada Aidil Fitri nanti.

Persoalan-persoalan ditimbulkan di atas adalah sebahagian logik mudah yang boleh menjadi permainan persepsi untuk dibuat sebarang naratif oleh mana-mana pihak beragenda untuk melariskan populariti mereka. 

Ramai orang begitu teruja dengan data-data mentah berkaitan negeri tertentu untuk dijadikan bahan untuk jajan serangan politik. Pengalaman saya membuat analisis terhadap prestasi setiap syarikat utiliti air negeri seluruh Malaysia, boleh disimpulkan bahawa syarikat ini masing-masing ada masalah air tersendiri. 

Pulau Pinang mempunyai rizab margin tertinggi di Malaysia sebanyak 30 peratus, namun gangguan bekalan air dengan tekanan yang rendah tetap berlaku di bahagian Selatan dalam kawasan Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. 

Empangan Air Itam yang menjadi tempat simpanan air mentah di Pulau Pinang berada pada kapasiti yang membimbangkan 38.5 peratus pada 31 Mac 2022 berbanding 89.3 peratus pada 1 Januari 2022. Lalu syarikat utiliti air Pulau Pinang kini gigih menjalankan usaha-usaha pemulihan supaya masalah gangguan air dapat dielakkan.  

Ini bermakna, walaupun sesuatu negeri itu mempunyai rizab margin yang tinggi, masalah gangguan air yang menyebabkan pengguna terjejas sentiasa ada. 

Kelantan, sejak semalam terdapat satu persepsi bahawa rizab margin 0 akan seolah-olah menyebabkan anak rantau yang balik ke Kelantan tak dapat berhari raya dan akan berlaku gangguan air. 

Persepsi ini timbul apabila wakil syarikat utiliti Kelantan dalam Program Online di Page Facebook SPAN cuba untuk membentang jargon berkaitan Reserve Margin Treated Water (rizab margin air terawat) kepada audiens yang sedang fokus kepada isu gangguan air untuk berhari raya. 

Penjelasan wakil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah mengundang kekeliruan kepada khalayak awam yang tak memahami ‘big picture‘ isu pengurusan air. Perkara ini menjadi polemik apabila memetik rizab air Kelantan adalah kosong tanpa penjelasan konteks yang seimbang. 

Saya kira wakil AKSB tersebut perlu berhati-hati dalam memetik jargon yang boleh mengelirukan media dan khalayak awam yang tak mahir dan seimbang dalam isu air. Pada saya jawapan beliau betul berkaitan angka rizab margin, tetapi cara menerang beliau itu buka ruang untuk dimanipulasi.

Apa yang perlu difahami daripada kekeliruan dalam persepsi ini adalah Rizab Margin Air Terawat dan gangguan bekalan air adalah dua perkara berbeza walaupun mempunyai perkaitan.

Kelantan kini sedang gigih dalam proses untuk meningkatkan rizab margin air terawat. Ini dibuktikan melalui kerja-kerja pembangunan loji rawatan air (LRA), naik taraf dan penyelenggaraan yang sedang giat dijalankan.

Namun atas sebab-sebab untuk mengelakkan gangguan sempena sambutan Hari Raya yang bakal menjelang, maka sebahagian kerja-kerja berkaitan LRA yang menjejaskan proses pengeluaran air secara maksima akan ditunda mengikut jadual tertentu selepas sambutan Hari Raya. 

Ini jelas menunjukkan bahawa Kelantan melalui AKSB sedang memberi komitmen utama bagi mengelakkan gangguan air dan menangguhkan kerja-kerja berkaitan supaya dapat meningkatkan rizab margin air. 

Ini adalah semata-mata demi memberi keselesaan yang terbaik untuk menyambut kepulangan anak-anak rantau Kelantan berhari raya.

Segala komitmen AKSB dapat dirujuk melalui kenyataan rasmi yang dibuat pada 17 April 2022 lalu. (https://airkelantan.com.my/wp-content/uploads/2022/04/Siaran-akhbar-persediaan-bekalan-air-musim-perayaan-Aidilfitri-2022-1-FINAL-OPERASI.pdf)

Pada ketika ini sememangnya Kelantan dan AKSB akui bahawa rizab margin air terawat adalah sangat rendah. Lalu, kerja-kerja pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan (tetapi ditunda sementara waktu sempena hari raya) inilah akan membantu untuk meningkatkan rizab margin air terawat kelak. 

Usaha untuk meningkatkan rizab margin adalah bersifat proses berterusan secara jangka masa panjang. Ia tidak berlaku dalam masa sehari dua seperti musim tertentu untuk perayaan. Komitmen fokus syarikat utiliti air sehari dua ini sebelum menjelang Hari Raya adalah mengelakkan gangguan air untuk pengguna dalam 2 juta kereta yang bakal berduyun-duyun balik. 

Kalau masih ada yang mempermainkan soal rizab 0 margin, cuba tanya apakah dimahukan? Nak sambut raya tanpa gangguan air atau nak supaya AKSB sambung kerja peningkatan rizab margin ketika raya?

Orang Kelantan kata ‘Kalau nak bergege biarlah kaba‘. Mana-mana negeri masing-masing ada masalah air yang tersendiri, cukup-cukuplah menuding itu ini. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Penganalisis bebas pengurusan air 
Darulnaim Research Centre
28 April 2022 – HARAKAHDAILY 28/3/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close