Politics

Sokong pindaan Akta DBP – Awang Sariyan

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai ucapan penggulungan Naib Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perhimpunan parti itu yang mencadangkan kerajaan agar meminda Akta DBP.

Ini untuk membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk di pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata, DBP telah mengemukakan pindaan Akta DBP dalam tiga perkara utama.

Advertisement

Pertama, ujarnya pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan khasnya Perkara 152(6) yang memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

“Kedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai urus setianya.

Tambahnya, pindaan ketiga berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan.

Dengan kelulusan pindaan itu, ujarnya DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.

“DBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara,” katanya yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM.

Di samping itu, ujar beliau kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia.

“Semoga iltizam Perdana Menteri disertai oleh semua pemimpin lain,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/3/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.