Politics

Tidak tahan bebanan kerja, separuh guru di England mahu berhenti kerja

LONDON: Satu tinjauan pendapat mendapati hampir separuh guru di England merancang untuk meninggalkan kerjaya itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia disebabkan peningkatan dalam beban kerja, pemantauan berterusan dan penghasilan kertas kerja yang ‘tidak terkawal’ susulan penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19.

Lapor Daily Mail, data dikeluarkan oleh Kesatuan Pendidikan Kebangsaan (NEU) menunjukkan 44 peratus guru bercadang untuk berhenti kerja menjelang tahun 2027.

Dalam kaji selidik membabitkan seramai 1,788 guru, kira-kira satu perlima atau 22 peratus responden menyatakan akan meninggalkan kerjaya mereka dalam tempoh dua tahun.

Lebih separuh atau 52 peratus guru mengakui beban kerja mereka tidak terurus pada kebanyakan masa.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 35 peratus guru yang dicatatkan pada tahun lalu.

Bagi guru yang merancang berhenti kerja dalam tempoh dua tahun, sebanyak 65 peratus responden menyatakan beban kerja merupakan punca utama mereka mengambil tindakan demikian.

“Kebimbangan berhubung tahap kepercayaan orang awam dan kerajaan terhadap guru juga menjadi antara faktornya,” jelas laporan itu.

Menurut responden, pihak pengurusan sekolah menghadapi kesukaran untuk mengisi kekosongan jawatan guru sehingga menyebabkan tugasan tambahan kepada mereka.

Malah, sebanyak 73 peratus responden menyatakan isu tersebut bertambah buruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Selain itu, responden berkata, gaji rendah dan kadar keupayaan mendidik turut menjadi antara faktor bagi meninggalkan kerjaya tersebut.   




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close