Politics

UDA terus komited bantu peniaga kecil

PENERAJU pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA) terus komited membantu pelbagai kelompok usahawan seluruh negara khususnya peniaga kecil dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kesempitan selepas melalui tempoh sukar ketika pandemik Covid-19.

Bentuk bantuan diberikan agensi itu adalah dengan mempergiatkan aktiviti keusahawanan menerusi penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang baharu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, bulan lalu.

Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata, UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan keluarga usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih.

“Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia ini antara inisiatif UDA bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu mengembangkan potensi keluarga usahawan.


NURHASLYANA Mohd Zaini, 26, menunjukkan aiskrim keju dan aiskrim Malaysia pelbagai perisa yang dijualnya.

“Inisiatif ini juga diharap dapat menggalakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan dari golongan wanita khususnya suri rumah serta siswazah.

“Sasaran penglibatan golongan wanita, belia serta graduan ini dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya selepas merasmikan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Pulau Pinang yang diadakan di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini, baru-baru ini.

Dalam karnival itu, UDA turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada 20 usahawan asnaf tempatan yang setiap asnaf masing-masing menerima zakat RM1,000 seorang.

HALIZA Mohamed Noor, 46, memasak nasi beriani jenama ‘Pak G’ menggunakan buluh untuk dijual pada karnival.

Jelasnya, pada penganjuran karnival di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Ogos lalu mencatatkan pembabitan seramai 200 usahawan dengan nilai jualan direkodkan melebihi RM2 juta.

“Pulau Pinang adalah jelajah kita yang pertama yang pada karnival berlangsung selama tiga hari (16 hingga 18 September) ini membuka sebanyak 195 gerai jualan dan terdapat juga 10 usahawan food truck.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran namun berharap nilai jualan yang memberangsangkan dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan di negeri ini,” katanya.


ANTARA orang ramai yang hadir melawat pameran jualan.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, pihaknya mendapati usahawan kini bukan sahaja mahir dalam menghasilkan produk namun semakin kreatif dari segi pembungkusan apabila mampu menarik minat pembeli.

“Seperti di sini (Tasek Gelugor) kita dapati satu kelainan apabila banyak produk-produk kesihatan berasaskan herba dijual usahawan kecil yang dari sudut pembungkusan amat kreatif.

“Produk-produk ini boleh diketengahkan dan pergi lebih jauh (eksport) bagi membolehkan usahawan mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

NORLIZA (dua dari kanan) melawat booth jualan bunga.

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia menjelajah seluruh Malaysia bermula Ogos hingga November ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik serta merangkumi segmen perniagaan UDA antaranya hartanah, hotel, premis perniagaan dan pengurusan fasiliti serta ceramah dari agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, jelajah seterusnya akan ke Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (8 hingga 10 Oktober), Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21 hingga 23 Oktober) dan Angsana Ipoh Mall, Perak (4 hingga 6 November).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.