Politics

Umar tegas terhadap pegawainya yang ada salah laku

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 29)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

AL-BAIHAQI mengeluarkan daripada Zaid bin Wahb, katanya: Umar al-Khattab keluar, kedua tangannya di telinganya, sambil berkata:

يا لبيكاه!

“Wahai kamu semua!”

Orangramai bertanya: Kenapa dengannya?

Advertisement

Zaid berkata: Umar didatangi berita dari sebahagian isterinya, bahawa sebatang sungai menghalang mereka dari melintasi sungai itu. Mereka tiada perahu.

Ketua mereka berkata: Bawa seseorang yang tahu kedalaman sungai ini. Dibawa seorang lelaki yang agak tua. Katanya: Aku takut sejuk.

Ketika itu musim sejuk. Dia dipaksa masuk ke dalam sungai. Dia tidak tahan sejuk. Lalu dia menjerit: Wahai Umar! Akhirnya dia lemas tenggelam.

Umar menulis surat kepada ketua tadi. Dia datang. Umar biarkan dalam keadaan demikian tanpa menegur. Umar biasanya berbuat begini jika ada pegawainya yang ada kes seperti ini.

Akhirnya dia berkata: Apa yang lelaki yang engkau bunuh itu buat?

Kata ketua itu: Wahai Amir al-Mukminin! Aku tidak sengaja membunuhnya. Kami tidak mempunyai sesuatu yang boleh dibuat untuk menyeberang. Kami juga mahu tahu kedalaman sungai. Jadi kami buat demikian demikian.

Umar berkata: Sesungguhnya seorang lelaki muslim, terlebih kasih kepadaku dari apa sahaja yang engkau bawa. Jika tidak kerana adanya sunnah, tentu aku penggal lehermu. Beri diat kepada keluarganya. Keluar! Aku tidak mahu melihatmu. (Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi 2/97-98)

Kita belajar dari kisah ini betapa Saidina Umar al-Khattab sangat mengambil berat hal ehwal rakyatnya. Apatah lagi apabila ia berkait dengan nyawa, salah satu maqasid syariah yang penting yang mesti diberi perhatian.

Pegawai yang bertugas pula hendaklah bijak membuat keputusan yang tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain. Jika berlaku sesuatu, dia mesti bertanggungjawab terhadapnya.

Walaupun tidak sengaja, Umar tetap memerintahkan dibayar diat atau pampasan kepada ahli keluarga lelaki itu. Bahkan dengan tegas, Umar menghalau pegawainya keluar dan tidak mahu melihatnya disebabkan salah-laku yang dibuat. – HARAKAHDAILY 3/2/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.

close