Politics

Wakil Kelantan sembunyi cerita sebenar di PAU

KOTA BHARU: Kenyataan perwakilan Umno Kelantan Zawawi Othman yang meletak kesalahan terhadap PAS berhubung Muafakat Nasional (MN) pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 bertentangan sama sekali dengan realiti yang berlaku.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, hakikatnya Umno yang mula agenda menyisihkan rakan muafakat apabila mengumumkan bertanding semua kerusi di PRN Melaka dan Johor.

Begitu juga katanya Umno Kelantan paling awal memutuskan hubungan dengan PAS melalui surat yang dihantar pada pertemuan yang diadakan pada 22 Januari lepas.

Advertisement

“Menunding jari dengan meletakkan kesalahan terhadap PAS dalam situasi Muafakat Nasional adalah paradoks yang bertentangan dengan kenyataan sebenar.

“Jika umpan ‘itik patah kaki’ sebagai suatu yang besar, mengguris perwakilan Umno Kelantan apalah sangat sekiranya dibandingkan dengan tindakan yang diputuskan di Melaka dan Johor. Bukan sekadar mengguris perasaan tetapi merencatkan muafakat yang masih sah,” katanya di sini.

Ketika perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno, wakil Kelantan terbabit menyifatkan PAS ada tiga ‘jahanam’ dengan menamakan tiga pemimpin utama termasuk Naib Presiden Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Dato Seri Muhamad Sanusi Md Nor.

Mohamad Kamal berkata, sepatutnya ruang yang ada digunakan sebagai membuat koreksi kendiri parti dengan menegur dan membetulkan laluan yang sedang diterajui Umno hari ini.

Katanya bukan caranya meletakkan kesalahan pada parti lain, apatah lagi menjahanamkan pemimpin parti rakan muafakat.

“Tidak mahu saya sentuh perkara dalaman Umno tetapi perlu diingatkan juga agar perwakilan dan rakan-rakan termasuk Puteri dan Pemuda tidak sewenangnya “memukul” pimpinan parti muafakat yang lain dalam sesi-sesi perbahasan.

Kata orang tua-tua, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kalau cakap hanya untuk sedapkan ahli, tanpa merujuk situasi sebenar lebih baik diam,” katanya.

Menurutnya juga ketika kerajaan BN tumbang pada PRU lepas PAS dijadikan sebagai tongkat untuk Umno bangkit semula atas nama perpaduan Melayu.

Malah katanya Umno pada awalnya bersetuju untuk memperkukuh penyatuan ummah, dengan menjemput Bersatu sertai MN, namun kerana agenda segelintir pemimpinnya usaa itu tidak menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 19/3/2022



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.