Politics

Zii Jia gagal pertahankan kejuaraan All England

PETALING JAYA: Pemain berusia 20 tahun, Lakshya Sen dari India menyekat hajat Lee Zii Jia untuk mempertahankan kejuaraan badminton All England selepas mengejutkan perseorangan utama negara itu dalam separuh akhir yang sengit sebentar tadi.

Kedua-dua pemain bertarung selama satu jam, 16 minit sebelum Lakshya, yang menghuni ranking ke-11 dunia menumpaskan Zii Jia 21-13, 12-21, 21-19.

Kekalahan itu bermakna, Zii Jia, pemain No. 7 dunia yang menumpaskan jaguh No. 2 dunia dari Jepun, Kento Momota pada suku akhir kelmarin masih gagal memenangi sebarang trofi sejak kemenangan terakhir di All England tahun lalu.

Zii Jia juga mensia-siakan kelebihan mendahului 14-10 dan 16-12 untuk membenarkan Lakshya melakar kebangkitan hebat, sekali gus muncul pemain India pertama melangkah ke final perseorangan lelaki dalam tempoh 21 tahun sejak Pullela Gopichand pada 2001.

Lakshya yang memiliki ‘tenaga tambahan’ selepas tidak perlu turun pada suku akhir semalam ekoran penarikan diri lawannya, Lu Guangzu, kini akan berdepan pemenang di antara jaguh No. 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark atau bintang Taiwan, Chou Tien-chen pada final esok.

Kejayaan Lakshya mara ke pentas akhir juga mengulangi pencapaian di Terbuka Jerman minggu lalu sebelum dia tewas kepada perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Ini adalah kekalahan kedua Zii Jia kepada Lakshya sejak kali pertama pada 2016, malah buat kali kedua berturut-turut langkahnya tersekat di separuh akhir selepas menerima nasib sama di Jerman. – UTUSAN ONLINE




Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.